comscore
Tumpuan :
Nasional

Penipuan Love Scam semakin membimbangkan, 79.3% mangsa adalah wanita

Foto hiasan

Oleh: Fahmi Tajuddin

KUALA LUMPUR: Sindiket Penipuan ‘love scam’ kini berada pada tahap yang membimbangkan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata taktik yang digunakan oleh sindiket ini semakin kompleks dan pelbagai.

“Baru-baru ini dilaporkan oleh Polis Selangor bahawa seorang wanita berusia 64 tahun telah diperdaya oleh sindiket ‘love scam’ sehingga mengakibatkan kerugian RM1.98 juta.

“Melalui laporan polisnya, pengadu yang juga seorang pesara memaklumkan telah dihubungi oleh rakan mayanya yang ingin menghantar parcel yang mengandungi wang tunai.

“Bagi menebus parcel tersebut, pengadu telah memasukkan wang menerusi 12 transaksi ke 12 akaun berlainan dengan jumlah keseluruhan RM1,981,574.00,” katanya.

Mengulas lanjut, Ramli berkata rekod terkini menunjukkan bahawa kes love scam mencatatkan peningkatan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada tahun 2022, sebanyak 792 kes dilaporkan, meningkat kepada 935 kes pada 2023, dan sehingga Ogos 2024, sejumlah 496 kes telah direkodkan.

Malah, nilai kerugian kewangan bagi tempoh yang sama berjumlah RM56.27 juta dicatatkan pada tahun 2022, RM43.92 juta pada 2023, dan RM23.36 juta setakat tahun ini.

Sementara itu, menerusi analisis mangsa sindiket, individu dalam lingkungan usia 21 hingga 30 tahun merupakan kumpulan paling ramai menjadi mangsa pada tahun 2022 dan 2024.

Manakala pada tahun 2023, mereka yang berusia 41 hingga 50 tahun mencatatkan jumlah mangsa tertinggi.

Menurutnya lagi, aspek jantina pula mendedahkan, 79.3 peratus daripada keseluruhan 2,223 mangsa yang direkodkan sejak 2022 adalah wanita.

Tambah Ramli, beberapa faktor menjelaskan mengapa wanita lebih cenderung menjadi mangsa, termasuk kecenderungan emosi yang lebih terbuka serta keterbukaan dalam hubungan peribadi yang sering dimanipulasi oleh sindiket.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini