Tumpuan :
Nasional

Penipuan Dalam Talian: Bank bertanggungjawab sepenuhnya jika pendeposit hilang wang atas kelemahan bank – Kulasegaran

KUALA LUMPUR: Pihak perbankan perlu bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya pendeposit kehilangan wang akibat penipuan berpunca daripada kelemahan institusi kewangan itu.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran, perkara itu ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam meningkatkan hak perlindungan pengguna.

“Bagi memperkukuhkan hak pengguna, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menetapkan keperluan institusi kewangan menjalankan siasatan terperinci dan telus setiap kes penipuan kewangan.

“Pihak bank bertanggungjawab untuk menanggung sepenuhnya kerugian (terhadap mangsa) penipuan sekiranya disebabkan kelemahan bank,” jelasnya.

Tambahnya BNM juga telah menetapkan keperluan bank-bank dalam memastikan kawalan dan standard keselamatan institusi kewangan itu berada pada tahap tertinggi setiap masa, terutama melibatkan perbankan internet dan mudah alih.

“Antara tindakan dibawah keperluan tersebut termasuk pengenalan ‘kill switch’ dan satu peranti mudah alih untuk pengesanan tranksasi dalam talian.

“BNM dengan kerjasama PayNet dan sektor kewangan telah turut mengoperasikan Portal Anti-Penipuan Kebangsaan (NFP) berkebolehan memudahkan automasi menjejakkan dana, mempercepat tempoh pengesanan, pembekuan dan permulangan dana,” katanya lagi.

Ujarnya, antara 12 Oktober 2022 hingga September lalu, sebanyak 131,036 panggilan melibatkan 52,836 kes penipuan dan 78,200 panggilan khidmat nasihat kepada pemanggil diterima Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pula sudah menyekat nombor telefon digunakan scammers dengan 131 talian ditamatkan kerana terbabit aktiviti penipuan, antara 14 Oktober 2022 hingga Oktober lalu.

“Sebanyak 112 nombor meragukan juga disekat dalam tempoh sama, selain MCMC turut menjalin kerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi tujuan berkenaan,” katanya.

Selain itu, sebanyak 15,106 kertas siasatan telah dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi kesalahan penipuan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, manakala 77 kertas siasatan dibawah pengubahan wang haram membabitkan pembekuan akaun bernilai RM75.53 juta.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan AHli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun berkenaan usaha kerajaan menangani masalah jenayah penipuan dalam talian di Dewan Rakyat hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini