comscore
Tumpuan :
Nasional

Penimbang tara memihak kumpulan Sulu berdepan tuduhan jenayah

 

Penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa.

KUALA LUMPUR: Penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa, akan dibicarakan di Mahkamah Madrid pada 11 Disember ini atas dua kes jenayah berkaitan final award kepada kumpulan Sulu.Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata Mahkamah Madrid sendiri menyiasat dan mengeluarkan tuduhan ke atas kesalahan dilakukan Stampa.

Jika didapati didapati bersalah atas pertuduhan itu, Stampa akan dikenakan hukuman penjara dan didenda oleh mahkamah berkenaan.

“Tarikh pendengaran itu ditetapkan berikutan permohonan agresif dan berterusan oleh Kerajaan Malaysia. Ini bukan tuntutan sivil tetapi Stampa berdepan tuntutan jenayah.

“Ini adalah faktor utama yang memberikan consistency kepada kesimpulan Kerajaan Malaysia bahawa award yang diberi oleh Stampa selaku penimbang tara antarabangsa adalah pelaksanaan award yang boleh dilihat sebagai tidak sah dan tidak berasas,” katanya ketika temu ramah bersama media secara dalam talian.

Azalina berkata, award yang diumumkan oleh Stampa ke atas Kerajaan Malaysia sebanyak AS$14 bilion dilihat sebagai satu ‘fraud award’ (penipuan) kerana mahkamah yang melantik beliau sebagai penimbang tara ialah mahkamah sama yang menarik pelantikannya.

“Bagaimanapun, beliau (Stampa) masih meneruskan pendengaran kes timbang tara antarabangsa dan melompat ke negara lain untuk melaksanakan keputusan yang beliau buat terhadap Kerajaan Malaysia.

“Sebab itulah bagi Kerajaan Malaysia, tuntutan kes jenayah yang dilakukan beliau yang ditetapkan pendengaran pada 11 Disember amat penting untuk kita mematikan segala tuntutan yang dilaksanakan oleh Stampa,” katanya.

Malaysia kini dalam proses membatalkan award akhir AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) yang diberikan oleh Stampa dalam kes yang dibawa oleh lapan individu mendakwa sebagai kumpulan Sulu.

Pada 6 Jun lalu, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar award yang diberikan pada 25 Mei 2020 oleh Stampa dalam kes yang difailkan oleh lapan individu itu.Stampa memberikan award akhir sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) kepada kumpulan itu dan Malaysia terpaksa menggunakan semua remedi undang-undang bagi membatalkannya di mahkamah Sepanyol, Perancis, Luxembourg serta Belanda.

Pada 27 Jun, Malaysia melakar satu lagi kejayaan apabila Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award akhir itu di negara berkenaan.

Dalam usaha menguatkuasakan award akhir itu, kumpulan Sulu dilaporkan cuba menyita aset syarikat petroleum Malaysia iaitu PETRONAS di Luxembourg dan Belanda selain menyasarkan aset diplomatik negara di Perancis (termasuk kedutaan).

Pada 2019, kumpulan itu dilaporkan memulakan tindakan perundangan di Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini