IPOH: Seorang peniaga wanita kerugian RM1.2 juta selepas diperdaya sindiket penipuan dalam yang menyamar pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) kononnya untuk membantu menyelesaikan kes jenayah tidak wujud menggunakan taktik tunggakan pinjaman kereta.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata, mangsa, 45, mula dihubungi sindiket 2 Disember lalu mendakwa akaun banknya disekat akibat tunggakan hutang kereta.
“Panggilan seterusnya disambungkan ke pihak bank dan kemudian dihubungi pula seorang lelaki yang mengaku dari BNM mengatakan mangsa terbabit pengubahan wang haram.
“Akibat takut, mangsa mengikuti segala arahan diberikan dan melakukan tujuh transaksi pindahan wang secara berperingkat bermula 3 Disember 2024 hingga 10 Februari lalu ke tiga akaun bank berbeza berjumlah RM1,285,230.
“Mangsa dijanjikan akan dihubungi semula untuk pemulangan wangnya, tetapi tiada sebarang panggilan diterima,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang curiga menceritakan perkara itu kepada kawannya sebelum menyedari tertipu dan membuat laporan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.