KUALA LUMPUR: Dalam tempoh enam bulan tahun ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur merekodkan 42 kes kesalahan berkaitan tidak mempamerkan tanda harga di premis perniagaan.
Isu berkenaan antara fokus KPDN Kuala Lumpur dengan menggerakkan operasi secara berkala di sekitar ibu negara bagi membanteras isu pematuhan penandaan harga, baru-baru ini.
Hasil penyamaran pegawai KPDN sebagai pelanggan yang dilakukan ke atas sebuah premis perniagaan di Jalang Silang, di sini, mendapati kira-kira 85 peratus barang yang diletakkan di rak tidak mempunyai tanda harga selain tidak mempunyai sebarang label produk.
Ketika serbuan, seorang pekerja premis berusia 18 tahun mendakwa tidak mengetahui berkaitan pematuhan tanda harga.
Susulan itu pemilik premis dikenakan kompoun RM200 kerana gagal mematuhi syarat di bawah Akta Kawalan Harga 1946.
Sementara itu serbuan ke atas premis kedua pula mendapati tanda harga jualan sayur-sayuran disorok di bawah meja dengan alasan ingin menawarkan harga lebih murah kepada pelanggan.
Premis berkenaan turut dikesan melanggar Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 kerana menjual barang kawalan seperti minyak masak melebihi harga yang ditetapkan.
Siasatan lanjut turut mendapati pemilik premis gagal mematuhi Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana tidak mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh kementerian untuk menjual barang kawalan sekaligus tindakan sitaan sebanyak 40 kilogram minyak masak dijalankan di premis berkenaan.
Secara keseluruhannya, sebanyak 23 premis diperiksa, namun hanya enam premis telah dikenakan tindakan atas kesalahan penandaan harga dan alat timbangan tidak ditentu sah dengan nilai kompaun sebanyak RM2,600.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar berkata peniaga menjual barangan dengan harga berbeza apabila pelanggan mereka kebanyakannya warga asing.
“Apabila pelanggan kebanyakannya terdiri daripada warga asing, jadi harga mereka boleh jual pada harga berbeza-beza.
“Kalau pelanggan yang dia kenal, harga mungkin lebih murah. Kalau tidak kenal, harga akan mahal. Jadi di situ berlakunya manipulasi harga terhadap pelanggan.
“Untuk mendapatkan lesen tidak susah, yang penting mestilah perniagaan itu berdaftar dan peroleh lesen dari PBT. Kalau syarat ini dipatuhi, mereka layak untuk menjual barang Kawalan seperti tepung, minyak masak, gula, atau LPG,” katanya.
Saksikan laporan khas ‘Sorok Tanda Harga’ dan pelbagai rangkuman kes sepanjang minggu dalam program 999 malam ini di TV3.
Program 999 bersiaran setiap Selasa, jam 9 malam dan strim sekarang melalui Tonton!