TUARAN: Peniaga ikan di Pasar Tuaran dan Pasar Tamparuli, di sini, mematuhi larangan menjual kerang-kerangan berikutan ancaman toksik akibat fenomena air merah di perairan daerah ini dan Kota Kinabalu.
Tinjauan mendapati, tiada lagi jualan hidupan marin bercengkerang seperti kerang, kupang dan kepah atau siput laut yang kebiasaannya dijual di pasar daerah ini.
Sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah melalui Jabatan Perikanan negeri mengeluarkan larangan menuai, menjual dan mengutip kerang-kerangan kerana dibimbangi dicemari toksik alga beracun yang menyebabkan fenomena air merah atau ‘red tide’.
Bagaimanapun, hidupan laut lain seperti ikan, sotong dan ketam tidak terjejas akibat fenomena itu dan masih dibenarkan dijual di pasar.
Walaupun ada kebimbangan dalam kalangan pengguna, ia tidak menjejaskan jualan hidupan laut itu memandangkan ia dimaklumkan kekal selamat dimakan.
Pengguna, Alex Voon, 41, mengakui sedikit bimbang dengan fenomena itu, namun masih meneruskan pembelian ikan basah kerana yakin hidupan laut itu masih selamat untuk dimakan.
“Selagi tiada diisytiharkan ikan turut terjejas disebabkan fenomena air merah beracun, bermakna hidupan laut itu masih selamat dimakan.
“Justeru, saya dan keluarga tidak bimbang dan menghentikan pembelian ikan basah,” katanya.
Tinjauan turut mendapati, Pasar Tuaran dan Pasar Tamparuli kekal sibuk dengan pelanggan yang mendapatkan bekalan ikan basah setiap hari, walaupun Jabatan Perikanan Sabah mengeluarkan peringatan berhubung kejadian fenomena air merah beracun.
Sementara itu, peniaga, Siti Rahmah Abdullah, 30, berkata perniagaan ikannya tidak terjejas kerana pelanggan masih ramai datang membeli hidupan laut itu, walaupun fenomena air merahfenomena air merah beracun turut dikesan di perairan Tuaran.
“Bekalan ikan yang kami jual diperoleh dari laut dalam di Kudat, yang tidak terjejas dengan kejadian ini.
“Oleh itu, pengguna tidak perlu bimbang untuk datang mendapatkan bekalan ikan basah di Pasar Tuaran dan Pasar Tamparuli,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap fenomena itu akan segera reda agar peniaga ikan tidak terjejas pendapatan sehingga tempoh lama.
Minggu lalu, Jabatan Perikanan Sabah menasihatkan orang ramai tidak memakan semua jenis kerang berikutan fenomena air merah beracun atau ‘red tide’ yang dikesan di perairan daerah ini dan Kota Kinabalu.
Jabatan itu dalam satu kenyataan menyebut fenomena berkenaan berpunca daripada peningkatan alga merah jenis sel Pyrodinium bahamense yang agak tinggi di perairan Tuaran.
Berdasarkan peningkatan alga merah itu, menyebabkan hidupan laut terutama kerang mengandungi racun dan berbahaya untuk dimakan.
Katanya, jabatan itu akan memantau keadaan alga merah itu dari semasa ke semasa sebagai langkah berjaga-jaga dan orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi jabatan berkenaan menerusi talian 088-428410, 088-428415 atau 088-425677. – BERITA HARIAN