comscore
Tumpuan :
Nasional

Peniaga makanan laut tular kena kompaun RM1,500

JOHOR BAHRU: Peniaga kedai makanan laut di Tepian Tebrau yang tular Oktober lalu, kerana mengenakan harga mahal kepada pelanggan telah dikompaun RM1,500 atas dua kesalahan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, kompaun itu dikenakan selepas siasatan dijalankan pihaknya terhadap peniaga terbabit selepas mendapat aduan berhubung kes berkenaan.

Menurut beliau, peniaga itu dikompaun atas kesalahan tidak mempamerkan tanda harga selain terdapat unsur pencatutan iaitu menjual pada harga tidak munasabah.

“Berkenaan isu peniaga makanan laut yang tular sebelum ini, KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) Johor membuka dua kertas siasatan dan peniaga terbabit dikenakan kompaun iaitu RM500 kerana tidak meletakkan tanda harga dan RM1,000 kerana pencatutan.

“Perkara ini seharusnya dijadikan pengajaran buat kedua-dua pihak. Peniaga perlu berniaga dengan telus, manakala pengguna perlu tahu harga produk atau makanan yang dibeli mereka.

“Penting bagi pengguna memahami bahawa hak mereka untuk melihat dulu dan tanya harga, kerana itu hak pengguna sebelum membuat pembelian,” katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Karnival Rahmah Kasih Sayang Bangsa Johor di Stadium Bandaraya Pasir Gudang di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo; Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd Rahman dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Menurut Fuziah, tindakan kompaun itu bukan bertujuan untuk menghukum peniaga sehingga terpaksa menutup perniagaan, sebaliknya sebagai pengajaran kepada semua pihak.

Pada Oktober lalu, isteri kepada penyanyi Mawi, Ekin Rahmat meluahkan ketidakpuasan hatinya dengan mendakwa harga yang dikenakan kedai Dol Mat Seafood di medan selera Tepian Tebrau di sini, terlampau mahal iaitu berjumlah RM1,260.

Namun, pemilik premis itu dalam satu video balas memberi penjelasan berhubung harga dikenakan dan memaklumkan harga itu adalah untuk hidangan seramai 20 orang seperti yang dipesan.

Peniaga itu turut memperincikan setiap butiran hidangan yang dipesan Ekin sebagai justifikasi terhadap harga berkenaan.

Loading...
Terkini