Tumpuan :
Nasional

Peniaga kenakan syarat beli minyak masak diambil tindakan

Oleh: Selwam Arjunan

KULIM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah telah mengambil tindakan terhadap seorang peniaga kedai runcit yang mengenakan syarat terhadap pembelian minyak masak paket 1kg bersubsidi di Lunas, di sini, hari ini.

Pengarahnya, Muhammad Nizam Jamaludin berkata pegawai penguat kuasa KPDN Cawangan Kulim telah melakukan uji beli melalui Ops Sabur bagi pengesahan terhadap aduan di premis terbabit.

“Melalui uji beli yang dilakukan, seorang wanita berusia 30-an bertugas sebagai juruwang premis terbabit telah mengenakan syarat pembelian iaitu pelanggan perlu membeli barangan lain bernilai RM15 untuk dapat beli barang kawalan minyak masak paket bersubsidi 1kg sebanyak dua paket.

“Susulan itu, pada jam 10.30 pagi sepasukan penguatkuasa telah memasuki premis tersebut bagi melakukan pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis mempunyai lesen menjual barang kawalan gula, minyak masak dan tepung gandum. Pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 2,006 kg minyak masak paket 1kg bersubsidi berada dalam simpanan di stor premis tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pasukan serbuan telah menyita minyak masak paket 1kg bersubsidi sebanyak 2,006kg untuk siasatan lanjut daripada pemilik premis seorang lelaki berusia 39 tahun.

Nilai rampasan minyak masak dianggarkan RM5,015.00.

“KPDN ingin memberi amaran bahawa tindakan tegas akan di ambil ke atas pihak yang cuba mengenakan syarat, menyembunyikan atau enggan menjual minyak masak paket 1kg bersubsidi.

“KPDN amat mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan dari orang awam berhubung keengganan mana-mana premis untuk menjual minyak masak paket 1kg bersubsidi kepada orang awam,” katanya lagi.

Kes disiasat di bawah seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini