DUNGUN: Malang berganda buat pasangan suami isteri di Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun di sini apabila rumah dan kedai makan yang diusahakan turut ditenggelami banjir besar pada Khamis lalu.
Selepas seminggu insiden itu berlaku,Tengku Maimun Tengku Ismail, 59, dan suami, Zulkurnain Mat Alias, 62, bersama keluarga masih membersihkan kediaman dan kedai makan milik mereka yang menjadi punca pendapatan keluarga berkenaan sejak 30 tahun lalu.
Ketika ini, mereka masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dek keadaan rumah yang belum sepenuhnya bersih.
Tengku Maimun berkata, banjir yang melanda kali ini hampir menenggelamkan rumah dan kedai makannya yang diusahakan sejak 30 tahun lalu.
“Memang teruk sebab bukan barang-barang rumah sahaja rosak tetapi barang-barang kedai pun terkesan, jadi sudah hilang sumber pendapatan di situ.
Malang berganda buat pasangan suami isteri di Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun, apabila rumah dan kedai makan yang diusahakan turut ditenggelami banjir besar pada Khamis lalu.
Video: NSTP pic.twitter.com/Rgb3HSM1pu
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) February 1, 2024
“Buat masa ini, tak tahu bila boleh buka kedai sebab fokus sekarang bersihkan dulu baju-baju sebab banyak barang-barang yang hanyut dan ditenggelami air.
“Biasanya boleh dapat RM200 sehari tapi bila tak buka kedai, memang terjejas pendapatan sebab ini punca rezeki kami sekeluarga,” kata ibu kepada empat anak.
Bagi Zulkurnain pula, dia dan keluarga masih berteduh di PPS kerana keadaan rumah yang masih belum selesai dibersihkan.
“Sekarang ini, memang sedang sibuk bersihkan rumah sebab selagi tak bersih, kami tak boleh balık dan berniaga.
“Walaupun biasa menghadapi banjir tetapi kali ini ia agak berbeza dan ambil masa sebab dipenuhi lumpur.
“Jadi, kita harap pihak berkaitan dapat membantu penduduk di sini yang terjejas,” katanya.
Banjir gelombang keempat yang melanda Terengganu pada 23 Januari lalu menyaksikan Dungun menjadi daerah yang paling terjejas.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.