Tumpuan :
Nasional

Peniaga gerai makanan ditahan, disyaki buat hantaran hina Agong

JOHOR BAHRU: Seorang peniaga gerai makanan ditahan kerana dipercayai membuat hantaran menghina Yang di-Pertuan Agong di aplikasi X, Selasa lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, sepasukan polis menahan lelaki berusia 55 tahun berkenaan di kawasan bandar raya ini, susulan menerima laporan berkenaan hantaran berkenaan.

Katanya, polis turut merampas telefon bimbit milik tertuduh yang dipercayai digunakan untuk mengakses aplikasi X dan memuat naik hantaran berkenaan.

“Polis Johor mengesahkan menerima laporan seterusnya menyiasat kes hantaran berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan oleh pemilik serta pengendali akaun X Bitz @ zatocent.

“Hantaran itu dipercayai dibuat pada 29 Disember tahun lalu.

“Oleh itu, keesokannya pada 30 Disember, polis menahan warga emas terbabit dengan kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor untuk mendapatkan arahan pertuduhan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Kumar berkata, tertuduh disiasat menerus Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 kerana menerbitkan penerbitan menghasut.

Katanya, jika sabit kesalahan, individu boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-keduanya sekali.

“Tertuduh akan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.

“Polis Johor memandang serius serta memberi amaran tegas terhadap mana-mana pihak yang memainkan sentimen 3R yang membabitkan raja, agama dan kaum di platform media sosial sehingga boleh membangkitkan perpecahan keamanan serta menggugat keharmonian masyarakat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini