Oleh Ifara Wahid
KUALA LUMPUR: Peniaga dinasihatkan untuk meletakkan tanda harga sebelum rondaan dijalankan oleh para pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup KPDN musim perayaan ini.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata beliau telah menjalankan tinjauan di pasar Chow Kit tengah malam tadi sendiri tanpa diiringi oleh pegawainya dan mendapati rata-rata daripada peniaga gagal mematuhi peraturan berkenaan.
“Cuma saya nak memberikan sedikit nasihat kepada peniaga-peniaga yang rata-ratanya masih lagi tidak meletakkan tanda harga ini penting ya.
“Saya dah nasihatkan mereka semalam KPDN tidak mahu bertindak agresif walaupun pegawai-pegawai nanti akan datang dan malam tadi saya minta mereka beri kerjasama dengan meletakkan tanda harga kerana saya tidak mahu nanti menjelang hari raya ni ada yang disaman atau ada yang didenda,” katanya selepas selesai mengadakan ‘walkabout’ Jualan Rahmah di salah sebuah kedai perabot di ibu negara pagi tadi.
Tambahnya, pegawai kementerian akan menjalankan rondaan di seluruh negara dan akan mengenakan tindakan kepada para peniaga yang tidak mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan agar rakyat tidak menjadi korban .
Menurut Salahudin, arahan mempamerkan tanda harga barangan yang dijual termasuklah mereka yang berniaga di bazar Ramadan dan mana-mana kawasan perniagaan yang dibuka.