Tumpuan :
Nasional

Peniaga diingatkan jangan salah guna nama Menu Rahmah

Pengarah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia (tiga kiri) meninjau pelaksanaan inisiatif Menu RAHMAH di Kedai Tokmi Selera Kampung, hari ini. – FOTO: NSTP

KUALA NERUS: Jangan salah guna nama Program Menu Rahmah. Itu peringatan yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri (KPDN) Terengganu kepada peniaga di negeri ini.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia, berkata pihaknya tidak mahu ada peniaga yang mengambil kesempatan menjual menu dengan harga tidak sepatutnya atau menjual hidangan lain dengan menggunakan nama Menu Rahmah.

Beliau berkata, Menu Rahmah adalah makanan tengah hari atau makan malam yang seimbang seperti nasi, satu pilihan protein sama ada ayam atau ikan dan sayuran dengan tawaran harga bernilai RM5 dan ke bawah.

“Peniaga mesti menjual makanan yang seimbang dengan harga bawah RM5 dan setakat ini, kita tidak terima aduan berkaitan penyalahgunaan nama Menu Rahmah ini.

“Jika ada yang dikesan menggunakan nama Menu Rahmah tetapi menjual dengan harga lebih tinggi atau tidak mengikut konsep, ia satu tindakan yang tidak beretika.

“Mereka sepatutnya menyumbang tetapi kalau itu cara dia buat, dia mengambil kesempatan dengan populariti Menu Rahmah ini,” katanya pada sidang media pelaksanaan Menu Rahmah di Negeri Terengganu di Kedai Tok Mi Selera Kampung di sini, hari ini.

Saharuddin berkata, setakat ini, terdapat 29 restoran dan gerai makanan di Terengganu menawarkan Menu Rahmah.

Beliau berkata, ia membabitkan 17 di Kuala Terengganu, Kuala Nerus (tiga), Marang (dua), Kemaman (dua), Besut (dua), Dungun (dua) dan Hulu Terengganu (satu).

“Kita akan luaskan lagi pelaksanaan Menu Rahmah ini membabitkan pengusaha restoran, kedai makan dan kios yang tidak bernaung di bawah persatuan.

“Mereka tidak bernaung di bawah persatuan tetapi berminat untuk turut terbabit dan menyumbang kepada masyarakat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup dan harga barang,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini