comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Peniaga dicekup, sorok 859 kotak arak bernilai lebih RM700,000

 

Oleh: Zahir Senapiah

MUAR : Seorang peniaga yang baharu tiga minggu berjinak-jinak dalam kegiatan menyeludup dan mengedar arak tanpa cukai diberkas polis.

Suspek ditahan sepasukan polis batalion ke-6, Pasukan Gerak Am, (PGA) Bakri, dekat sini hasil serbuan di sebuah stor, sebuah kilang lama, di jalan Sengkang, Pagoh.

Ketua Polis Daerah Muar, ACP Riaz Mukhliz Azman Aziz berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 10 pagi pada 22 Oktober lalu hasil maklumat awam dan risikan.

“Hasil serbuan itu sebanyak 859 kotak arak pelbagai jenama yang dipercayai tidak bercukai kastam dengan nilai keseluruhan hampir RM 737,295.54 tidak termasuk cukai” katanya pada sidang media di IPD, Muar, petang tadi.

Hasil siasatan awal mendapati, suspek mengaku baharu tiga minggu terbabit dalam kegiatan berkenaan.

Turut disita sebuah lori milik syarikat dan semakan rekod lampau mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.3 juta.

Arak berkenaan yang dipercayai diseludup dari negara jiran diedarkan di kawasan bersempadan daerah Muar.

Suspek telah ditahan reman selama enam hari bermula 24 Oktober lalu, bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 135(1)(d)Akta Kastam 1967.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih 20 kali nilai cukai barang yang dirampas atau RM500,000 mana yang lebih tinggi atau boleh dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Loading...
Terkini