
JOHOR BAHRU: Peniaga makanan bazar Ramadan di negeri ini dikesan masih lagi menggunakan dawai kokot (stapler) bagi penyediaan dan penjualan kuih-muih terutama tepung pelita dan pulut panggang.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon, berkata penggunaan dawai kokot itu dikesan susulan operasi pemeriksaan bazar Ramadan dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).
Katanya, sebanyak 1,240 premis makanan di bazar Ramadan negeri ini diperiksa sejak Ahad lalu.
Namun katanya, dalam pemeriksaan itu hanya satu Notis Kompaun (32B) telah dikeluarkan kerana tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dengan tawaran kompaun bernilai RM100.
“Daripada 1,240 premis makanan bazar Ramadan negeri ini yang diperiksa, kesemuanya mempunyai tahap kebersihan premis melebihi 80 peratus dan tiada premis yang diarahkan ditutup, setakat ini.
“Dalam operasi pemeriksaan yang dijalankan, seramai 2,112 pengendali makanan telah diperiksa dan kesemua mereka telah diberikan pendidikan kesihatan sebelum dan semasa Ramadan secara berterusan.
“Pendidikan kesihatan ini termasuklah penguatkuasaan pendidikan ke atas penggunaan dawai kokot yang masih banyak diguna pakai bagi penyediaan dan penjualan kuih muih tradisional terutama tepung pelita dan pulut panggang.
“Aktiviti pensampelan terpilih juga akan diteruskan ke atas makanan berisiko tinggi di premis bazar Ramadan tahun ini bagi tujuan memantau dan mengesan tahap pencemaran mikrobiologi dan sekiranya keputusan diterima tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985, tindakan pendakwaan akan diambil ke atas pengusaha makanan terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau bazar Ramadan Angsana Mall Johor Bahru, di sini, petang semalam.
Pada 2022, Kementerian Kesihatan (KKM) dilaporkan mengeluarkan kenyataan mengenai penggunaan bahan seperti paku dan dawai kokot untuk membungkus makanan boleh menyebabkan kecederaan serius jika termasuk dalam makanan dan ditelan.
Melalui Peraturan 36, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, pengendali makanan dilaporkan perlu memastikan pembungkusan makanan bebas daripada pencemaran termasuk bahan seperti paku serta dawai kokot yang boleh memudaratkan pelanggan atau pengguna.
Peniaga makanan yang menggunakan paku, dawai kokot atau bahan seumpamanya yang berbahaya pada pembungkusan makanan boleh didakwa dan jika sabit kesalahan, didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.