Oleh: Aslina Abu Bakar
PETALING JAYA: Dakwaan peniaga air balang menggunakan air paip mentah bukanlah perkara baru malah sudah lama diperkatakan.
Baru-baru ini tular pula penggunaan akuarium sebagai tarikan demi melariskan perniagaan sedangkan ia jelas melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM 2009).
Perkara itu bukan sahaja menimbulkan kerisauan pengguna malah peniaga juga turut gusar sekiranya periuk nasi mereka terjejas.
Peniaga, Mohd Naim Abu Bakar, 29, berkata, orang ramai tidak boleh bersikap ‘pukul rata’ kerana tidak semua peniaga menggunakan air paip mentah untuk menjalankan perniagaan.
“Masih ramai yang peka terhadap aspek kebersihan dan cara penyediaan minuman yang betul demi memastikan kelangsungan perniagaan yang lebih berkat.
“Macam saya sendiri pun, saya akan bangun seawal enam pagi untuk memasak kira kira 40 ke 50 liter air sebelum memulakan perniagaan.,”katanya yang sudah 6 tahun menjalankan perniagaan air balang.
Peniaga, Musrifah Sirrafuddin berkata, bukan proses penyediaan air sahaja yang penting, namun penggunaan balang yang bersih dan betul juga perlu dititikberatkan peniaga. Ia bagi memastikan tidak berlaku keracunan sekiranya orang ramai meminum air yang dibeli.
Sementara itu, rata-rata pengguna yang ditemui berkata kejujuran peniaga dan kebijaksanaan pembeli menjadi titik ukur yang menjamin situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.
Umar Usman, 30 berkata dia hanya akan membeli air balang ditempat yang dia sudah biasa kunjungi kerana khuatir tempat lain menggunakan air mentah.
“Apapun semua bergantung kepada kebijaksanaan pengguna, kalau rasa was was lebih baik jangan beli,”katanya.
Sementara itu Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kesihatan Persekitaran Dan Keselamatan,Fakulti Sains Kesihatan,UiTM, Megat Azman Megat Mokhtar berkata, selain kebersihan pemilihan balang atau bekas penyediaan air balang amat penting.
Menurutnya, pengkhususan terperinci perlu diberikan kepada peniaga terutama berkaitan aspek pencemaran silang yang sering terjadi ketika penyediaan minuman dan makanan.