Tumpuan :
Nasional

Pengusaha terima tempahan ketupat jantung hatiku sehingga lebih 3,000 biji

KOTA BHARU: Pengusaha ketupat palas jantung hatiku di sini semakin tidak menang tangan memenuhi tempahan pelanggan, memandangkan Aidiladha cuma berbaki dua minggu lagi.

Ruslina Abdul Rahman, 60, berkata ketupat jantung hatiku yang diusahakannya sejak 40 tahun lalu mendapat sambutan apabila tampil dengan bentuk yang berbeza berbanding ketupat palas yang lain.

Jelasnya lagi sejak beberapa minggu lalu dia yang dibantu anaknya, Nor Asmidar Abdullah, 35, tidak menang tangan menyiapkan tempahan yang diterima pelanggan dari pelbagai daerah termasuk luar Kelantan.

Katanya, empat jenis ketupat yang diusahakannya iaitu ketupat lemak, manis, pulut hitam dan serunding dengan harga serendah RM1 sebiji sehingga RM1.40 sebiji.

“Idea untuk bentuk ketupat yang diberi nama jantung hatiku ini adalah idea daripada arwah ibu saya sejak 40 tahun lalu dan sehingga kini saya hanya membuat ketupat bentuk ini sahaja.

“Resepi sama sebagaimana ketupat lain dan menggunakan daun palas yang sama, yang membezakan adalah bentuk sahaja.

“Alhamdulillah disebabkan bentuk yang berbeza, ketupat saya sentiasa mendapat sambutan sehingga ke Lembah Klang,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bukit Kecik, Melor, hari ini.

Jelasnya, sempena Aidiladha tidak lama lagi, dia menerima tempahan sehingga lebih 3,000 biji dan menyifatkan sambutan menggalakkan setiap kali perayaan sama ada Aidiladha mahupun Aidilfitri.

“Saya tidak mempunyai pekerja dan hanya anak saya sahaja yang membantu setiap hari. Alhamdulillah saya hanya buat mengikut kemampuan.

“Jika bukan perayaan, saya akan membuat untuk sejuk beku dan pelanggan juga tidak pernah putus datang membeli,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini