comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengusaha di Port Dickson akur arahan henti pengeluaran kupang

Penternak kupang di Port Dickson, Othman Sulaiman menunjukkan pancang yang digunakan untuk menternak kupang di Kampung Telok, Pasir Panjang semalam. – Foto: NSTP

PORT DICKSON: Beberapa pengusaha ternakan kupang di sini, akur dengan arahan pihak berkuasa untuk menghentikan pengeluaran hidupan laut itu selepas ia disahkan tercemar.

Jabatan Perikanan Malaysia semalam mengesahkan kupang di perairan daerah ini khususnya di Kampung Telok dan Sungai Sekawang di Pasir Panjang sudah dicemari biotoksin dan tidak selamat untuk dimakan.

Seorang penternak kupang, Mohd Khairil Mohd Rashid, 31, berkata, kejadian seperti itu pertama kali berlaku sejak dia terbabit dalam industri ternakan berkenaan hampir enam tahun lalu.

“Ini pertama kali berlaku sejak keluarga saya mengusahakan ternakan kupang, namun akur dengan arahan pihak berwajib agar kami ‘berehat’ sebentar mengeluarkan kupang terutamanya di musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Kami nelayan khususnya pengusaha kupang sememangnya terjejas tapi demi keselamatan orang ramai terutamanya penggemar kupang, kami akan menghentikan pengeluaran,” katanya ketika di temui di sini, petang semalam.

Mohd Khairil berharap masalah itu akan pulih segera selain mengakui lega kerana kupang ternakan miliknya tidak mati seperti kerang.

“Keadaan ini memang merugikan. Kami percaya ia akan pulih biarpun terpaksa mengambil masa sedikit. Jika kupang kami habis mati, kerugian mungkin cecah puluhan ribu ringgit.

“Justeru, kami berharap agar Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perikanan buat siasatan serta kajian lebih lanjut lagi,” katanya.

Mohd Khairil berkata sebagai pengusaha, mereka tidak tahu kupang diternak sudah dicemari biotoksin sehingga berlakunya kes yang dikaitkan berpunca dari hidupan laut itu.

“Kita tidak tahu, kita hanya ternak dan dijual kepada peraih untuk dipasarkan kepada orang ramai sehingga Jabatan Perikanan mengeluarkan kenyataan kupang kami ada toksik (beracun).

“Kemudian kami dimaklumkan ada beberapa orang sudah disahkan mengalami keracunan selepas memakan kupang dan kami serahkan kepada pihak berwajib membuat siasatan,” katanya.

Seorang lagi penternak kupang, Othman Sulaiman, 40, berkata, tiada perkara luar biasa yang dilihat berlaku di kawasan perairan itu sebelum ini selain menyifatkan kes kupang mati perkara biasa.

Beliau tidak menolak proses pemulihan akan mengambil masa terutama sekali untuk mendapatkan keyakinan pembeli yang bimbang jika terbeli kupang beracun.

“Dua minggu sebelum raya orang sudah tempah kupang ini dan biasanya untuk seorang, dia akan tempah sekurang-kurangnya 10 kilogram untuk dibuat rendang dan dimakan di pagi raya.

“Bila jadi macam ini, kami pun tak dapat turun ke laut namun harapnya beberapa hari ini, kami akan dapat turun semula,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perikanan, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata berdasarkan analisis oleh makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur, kupang di perairan Port Dickson disahkan tercemar.

“Analisis yang dijalankan mendapati terdapat alga berbahaya iaitu spesies prorocentrum, alexandrium dan pseudonitzschia pada kupang yang diambil sampel di perairan Port Dickson.

“Jabatan akan meneruskan pemantauan berterusan dengan melakukan pengujian secara berkala mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sehingga kepadatan sel di dalam air berkurang dan biotoksin di dalam isi kupang tidak dikesan,” katanya dalam sidang media petang semalam.

Wan Muhammad meminta orang ramai supaya tidak mengambil kerangan seperti lala, kerang dan lokan di Port Dickson selain pihaknya melaksanakan larangan jualan kerangan di pasar awam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini