Oleh : Siti Khadijah Jaafar
KUALA LUMPUR : Pengurusan tertinggi Media Prima Bhd hari ini, mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Pertemuan lebih sejam di Menara 1 Bukit Aman, ibu negara itu diketuai oleh Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.
Turut serta dalam kunjungan hormat itu ialah Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar; Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman serta Timbalan Pengarang Kumpulan Jabatan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima, Azhari Muhidin.
Pertemuan bagi memperkukuh kerjasama antara Polis Diraja Malaysia, PDRM dan media sekaligus membantu meningkatkan imej PDRM kepada masyarakat menerusi laporan tepat yang disiarkan media.
“Kita tidak mahu masyarakat mempunyai anggapan dan salah tafsiran disebabkan maklumat diterima daripada sumber yang tidak betul menyebabkan masyarakat memandang serong kepada polis, media sebenarnya memberikan gambaran sebenar kepada masyarakat. Apabila kita memberi maklumat tepat kepada media, apa PDRM dapat adalah pandangan masyarakat terhadap kita”, katanya.
Sebaik menjawat jawatan nombor satu dalam PDRM beliau juga telah membuka ruang kepada timbalannya dan semua pengarah untuk memberikan maklumat kepada media.
Ia bagi memastikan laporan yang disampaikan media tepat dan diketahui oleh masyarakat.