Tumpuan :
Nasional

Pengurusan cerun bergantung kepada pemilikan tanah

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Bin Mat Salleh.

Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan bahawa sebarang aktiviti pengurusan cerun di Kuala Lumpur yang melibatkan pelbagai pihak bergantung dan tertakluk kepada pemilikan tanah kawasan tersebut.

Bagaimanapun, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Bin Mat Salleh berkata, DBKL bersedia membantu sebarang aktiviti pengurusan cerun di Kuala Lumpur sekiranya diperlukan.

“DBKL akan mengambil tindakan segera apabila berlaku runtuhan, meliputi tindakan jangka masa pendek dan jangka masa panjang.”

“Tindakan segera yang diambil meliputi kerja-kerja pemasangan kepingan kanvas (tarpaulin), membersihkan debris runtuhan, mengalihkan saliran daripada kawasan runtuhan dan penutupan jalan sekiranya perlu,” katanya dalam satu kenyataan

Dalam pada itu katanya, tindakan segera ini dilaksanakan oleh tenaga jabatan dalaman DBKL dan kontraktor berpenggal yang telah dilantik.

“DBKL akan turut menjalankan penyiasatan bagi insiden cerun runtuh di rezab jalan dan kawasan yang berada di bawah seliaannya, seterusnya menjalankan pelaksanaan kerja-kerja baik pulih dengan segera.”

“Seterusnya, kerja-kerja baik pulih ini dibantu oleh jururunding yang dilantik untuk menjalankan kajian dan mencadangkan kaedah bersesuaian bagi kerja-kerja pembaikan cerun yang runtuh.”

Manakala kegagalan cerun yang berlaku di dalam kawasan tanah persendirian akan dipanjangkan kepada pihak yang berkaitan (pemilik tanah) untuk tindakan selanjutnya.

Tambahnya, Unit Cerun DBKL sedang merangka dan bercadang untuk melaksanakan program melibatkan warga Kuala Lumpur menerusi sesi perjumpaan dan taklimat mengenai penyelenggaraan cerun di dalam kawasan persendirian.

“DBKL juga kini dalam proses menyediakan Garis Panduan Penyelenggaraan Cerun di Kawasan Tanah Bermilik di Kuala Lumpur selain memantau dengan lebih giat di lokasi berisiko tinggi.

“Selain itu, Sistem Amaran Awal akan diperkenalkan sebagai salah satu usaha pemakluman awal sekiranya terdapat kejadian pergerakan tanah dan kami juga akan berkolaborasi dengan NGO seperti Persatuan Geologi Malaysia untuk mendapatkan khidmat nasihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, sebanyak 108 lokasi aduan mengenai kejadian tanah runtuh melibatkan cerun berisiko yang memerlukan tindakan selanjutnya daripada pihak-pihak bertanggungjawab sejak Disember 2021.

Daripada jumlah tersebut, 59 aduan melibatkan rezab jalan dan kerja-kerja pembaikan telah siap yang dilaksanakan DBKL.

Ujarnya, DBKL juga telah mengeluarkan notis kepada pemilik tanah untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan di 49 cerun di bawah tanggungjawab pihak persendirian dan dipantau dari semasa ke semasa.

Loading...
Terkini