Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
ABU DHABI: Malaysia akan meneroka ruang kerjasama dalam aspek pengurusan bencana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia boleh mempelajari bagaimana negara teluk terbabit menggunakan (AI) untuk meramalkan bencana berdasarkan data sejarah, amaran awal, ramalan jenis bencana dan perancangan logistik.
Katanya, semasa pertemuan dengan Menteri Tenaga dan Infrastruktur UAE, Suhail Mohamed Al Mazrouei, kedua-dua negara bersetuju untuk mewujudkan kerjasama antara Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (NADMA) dan Pihak Berkuasa Pengurusan Kecemasan, Krisis, dan Bencana Nasional (NCEMA) UAE.
“NADMA telah merangka beberapa cadangan untuk meningkatkan keupayaan pengurusan bencana Malaysia.
“Ia termasuk pemerhatian bumi menggunakan imej satelit untuk mengumpul data kritikal mengenai corak cuaca, paras laut, dan keadaan persekitaran serta memberikan amaran awal terhadap potensi bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan ke ibu pejabat NCEMA.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara mengakui penggunaan kenderaan canggih yang digunakan UAE semasa menangani bencana boleh dicontohi untuk tindak balas yang lebih berkesan dan pantas jika berlaku sebarang musibah.
“Selain itu penggunan Sistem Platform Ketinggian Tinggi atau ‘High Altitude Platform System’ (HAPS) yang menggunakan dron dan belon ketinggian tinggi untuk menangkap data resolusi tinggi bagi meningkatkan kesedaran situasi di kawasan yang terjejas,” ujarnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.