Tumpuan :
Nasional

Pengurusan air, perkhidmatan pembentungan perlu transformasi menyeluruh – TPM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berucap pada Majlis Perasmian Persidangan dan Pameran Inovasi Air Kebangsaan Ke-2 (NWICE) 2024, di ibu negara, hari ini.

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Pengurusan air negara memerlukan transformasi menyeluruh termasuk sumber air bagi memastikan kelangsungan bekalan air yang bersih dan berkualiti kepada pengguna.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ini termasuk perkhidmatan pembetungan yang dapat menjamin kesihatan rakyat dan memelihara alam sekitar selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Ke-6.

“Pada masa ini, rakyat Malaysia menggunakan 228 liter air setiap orang sehari (LCD) yang agak tinggi berbanding sasaran 180 LCD pada tahun 2030.

“Penyaluran air terawat yang dibekalkan daripada 348 loji rawatan air di seluruh Semenanjung dan WP Labuan boleh menampung sehingga 18,842 juta liter sehari (JLH).

“Pada masa ini, 97.1 peratus penduduk mempunyai akses kepada perkhidmatan bekalan air bersih,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan dan Pameran Inovasi Air Kebangsaan Ke-2 (NWICE) 2024, di ibu negara, hari ini.

Tambahnya, Purata Air Tidak Terhasil (NRW) juga masih berada pada tahap yang tinggi sekitar 34.6 peratus berbanding sasaran 31 peritus menjelang tahun 2025.

“Selain itu, kadar rizab margin di Semenanjung dan WP Labuan berada pada tahap 15.3 peratus.

“Hanya empat negeri sahaja yang berada di bawah rizab margin tahap selesa, iaitu antara 10-15 peratus iaitu negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Melaka,” ujarnya.

Berdasarkan perancangan projek semasa di bawah pelan perniagaan operator air, kadar rizab margin dijangka akan meningkat kepada 15.7 peratus menjelang tahun 2025 dan 23.8 peratus menjelang tahun 2030 sekiranya semua projek yang dirancang dilaksanakan mengikut jadual.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air menggesa semua pihak mengubah persepsi air daripada satu sektor memerlukan kos tinggi kepada satu kaedah yang mampu menjana pendapatan dan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di samping mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan serta kepesatan ekonomi negara.

NWICE 2024 yang berlangsung selama tiga hari membawa tema “Transformasi Air Menuju Kemampanan Sejagat” menghimpunkan lebih 800 delegasi, 120 pembentangan kertas kerja dan 100 pempamer daripada pelbagai sektor dari dalam dan luar negara, memfokuskan kepada pembangunan dan transformasi industri air dan pembetungan negara.

“Transformasi ini penting untuk mendepani kesan perubahan iklim yang sedang berlaku di seluruh dunia.

“Transformasi ini memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan teknologi terkini, pendigitalan, kolaborasi antarabangsa dan komitmen daripada masyarakat.” jelasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini