Tumpuan :
Nasional

Pengurus, penyelia kilang ditahan bantu siasatan kes lepaskan efluen bahan kimia

Pelepasan efluen berwarna coklat memasuki Sungai Buloh, Pasir Gudang. Individu ditahan membantu siasatan kes melepaskan efluen tercemar ke Sungai Buloh, Pasir Gudang. FOTO: Ihsan JAS

Oleh: Zahir Senapiah

PASIR GUDANG: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor menahan seorang pengurus dan seorang penyelia sebuah kilang, bagi membantu siasatan kes melepaskan efluen bahan kimia di kawasan perindustrian Pasir Gudang, semalam.

Kedua-sua suspek ditahan di bawah Seksyen 37C, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Ia bagi membantu siasatan lanjut berhubung pencemaran mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

Dalam satu kenyataan, JAS Johor berkata, pihaknya turut mengenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) terhadap premis terbabit.

Katanya, satu operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi penguatkuasa telah dijalankan selepas JAS Pasir gudang telah menerima aduan berkaitan pencemaran Sungai Buloh.

“Hasil siasatan ke sebuah kilang berasaskan oleo kimia mendapati terdapat pelepasan efluen berwarna coklat dari sistem pengolahan efluen premis yang gagal berfungsi.

“Persampelan efluen telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya untuk analisa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini