PETALING JAYA: Seorang pengurus kilang dijatuhi hukuman denda RM7,600 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyimpan mesin cetak tanpa lesen pada Jun lalu.
Majistret Farah Azura Mohd Saad menjatuhkan hukuman itu kepada Hui Pooi Long, 46.
Mahkamah turut memerintahkan Hui dikenakan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Hui didakwa menyimpan mesin cetak tanpa lesen sah Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sebuah kilang percetakan di Taman Perindustrian Bukit Serdang, Serdang pada 7 Jun lalu.
Kedua-dua pertuduhan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 3(4) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan kes itu dibuat Pegawai Pendakwa KDN, Mohd Amin Azhar Qairil Yusoff, manakala Hui tidak diwakili peguam.
Dalam rayuannya, Hui meminta hukuman ringan atas kesalahan dilakukan dengan alasan dia tidak mengetahui peraturan berkenaan.
“Saya baru sahaja ambil alih kilang ini dan tidak tahu mesin (cetak) itu kena ada lesen percetakan. Saya hanya tahu perkara itu selepas dijelaskan oleh KDN (ketika serbuan).
“Saya minta hukuman yang ringan memandangkan saya ada banyak tanggungjawab terhadap pekerja termasuk gaji selain keuntungan (kilang) berkurangan,” katanya.
Pegawai pendakwa juga memohon barang kes itu diserah kepada pihak KPD untuk dilucuthak dan dilupuskan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.