Oleh: Azib Zikry Abdul Halim
PETALING JAYA : Mesej amaran insiden kepala air yang tidak sampai kepada pengunjung dipercayai menjadi faktor peningkatan tragedi lemas di kawasan ‘hotspot’.
Kekecewaan itu diluahkan Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Profesor Ahmad Ismail ketika mengulas insiden kematian yang sering melibatkan pengunjung tapak rekreasi air seperti sungai dan air terjun ekoran masalah komunikasi yang seringkali terjadi.
“Meskipun cuaca di Malaysia tidak menentu, agensi terbabit sudah pasti boleh meramalkan samada kawasan berkenaan selamat untuk dikunjungi ataupun tidak.
“Selain cuaca hujan lebat, keadaan geografi sekitar yang sedang membangun juga boleh menjadi faktor peningkatan risiko berlaku, dan maklumat ini perlu disalurkan dengan segera kepada rakyat,” katanya.
Artikel berkaitan: [VIDEO] Operasi SAR diperluaskan sehingga 35km hingga muara Sungai Kemaman
Ismail yang juga Ketua Jabatan Biologi, Universiti Putra Malaysia (UPM) turut menegaskan bahawa pemetaan kawasan ‘hotspot’ kepala air perlu dipergiat memandangkan insiden seumpama ini kerap terjadi.
“Pemetaan perlu dilakukan secara berkala dan bukannya bermusim, berdasarkan trend berlakunya banjir kilat dan banjir lumpur dan seterusnya maklumat ini perlu disalurkan kepada rakyat.
“Bagaimanapun pengunjung dan orang ramai juga perlu peka dengan hebahan yang dibuat pihak berwajib bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Semalam, dua disahkan maut, manakala lapan lagi dikhuatiri lemas dalam tragedi kepala air yang melanda kawasan perkelahan di Kampung Air Puteh, Kemaman.
Kejadian dikatakan berlaku susulan hujan lebat berterusan sejak Sabtu lalu hingga awal pagi Ahad dengan semua mangsa dipercayai membabitkan sebuah keluarga.