Oleh: Raja Nurul Antasha Raja Zaman
JOHOR BAHRU: Mahu elak kesesakan dan perlu bekerja antara faktor pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Johor di Parlimen Pulai keluar awal bagi menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi.
Kebanyakan pengundi tiba kira-kira jam 7.30 pagi dan menunggu sehingga pintu pagar pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Bukit Indah dibuka.
Tinjauan mendapati pengundi mula berpusu-pusu masuk ke pusat mengundi di SMK Taman Bukit Indah sebaik sahaja pintu pagar dibuka kira-kira jam 7.45 pagi.
Pekerja swasta, K. Murasle Rao, 24 memilih untuk keluar seawal jam 7 pagi bagi memudahkannya untuk memulakan kerja setelah selesai mengundi.
“Ini kali ketiga saya mengundi, saya memang akan keluar awal sebab tidak mahu bersesak.
“Saya perlu bekerja selepas mengundi ni. Jadi saya kena keluar awal kalau tak saya tak sempat nanti. Customer saya kebanyakkannya warga Singapura.” katanya.
Bagi jurutera, Hafizal Samad, 52, keluar awal bersiap sejurus menunaikan solat Subuh memudahkannya untuk menunaikan tanggungjawab dengan tenang.
Hafizal yang tiba di pusat mengundi SMK Taman Bukit Indah pada jam 8 pagi keluar mengundi pada sebelah pagi kerana bimbang cuaca yang tidak menentu.
“Saya memang akan keluar mengundi awal. Senang. Trafik pun masih lagi terkawal. Jadi mudah bagi saya.
“Cuaca pun ni pun dah mula mendung. Jadi setelah selesai mengundi baru rasa lega sikit.” katanya.
Manakala bagi pekerja swasta, Fang Kok Hoa, 42, dia memilih untuk mengundi sebelum ke tempat kerja.
“Saya memang keluar mengundi awal sebab hari ini saya bekerja jadi selepas mengundi sudah boleh mula kerja. Kalau keluar lambat takut jalan sesak, lambat ke, nanti susah.” katanya di perkarangan SMK Taman Bukit Indah.
Pusat Mengundi SMK Taman Bukit Indah adalah pusat mengundi terbesar di Parlimen Pulai dengan jumlah pengundi seramai 8,079 orang dengan 13 saluran disediakan.