CHUKAI: Hujan lebat di beberapa kawasan tidak menghalang orang ramai untuk menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membantu menyediakan payung bagi melancarkan proses keluar masuk pengundi di pusat pengundian.
Seorang pengundi yang ditemui, Mohd Firdaus Izwan Mohd Fauzi, 25, berkata pada mulanya ingin datang awal ke pusat pengundian kerana bimbang hujan lebat berlaku.
Bagaimanapun, beliau yang tiba berkerusi roda menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD) itu memaklumkan hasratnya itu terpaksa dibatalkan kerana menerima tetamu yang melawatnya akibat patah tulang belakang.
“Saya menghadapi masalah pengangkutan untuk datang ke sini, mujurlah ada yang bantu. Memang hasrat nak datang awal, kerana bimbang hujan.
“Tapi ada tetamu datang melawat saya yang patah tulang belakang,” katanya.
Mohd Firdaus berkata, kejadian itu menimpanya kira-kira seminggu lalu ketika membantu ayah mertuanya membaiki bumbung surau, namun secara tidak sengaja dia jatuh sehingga mengakibatkan tulang belakangnya patah.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), meramalkan hujan dijangka melanda beberapa daerah Kemaman secara berterusan pada hari pengundian.
Sehubungan itu, Pengarah Meteorologi Terengganu, Rosli Zakaria mengingatkan pengundi supaya berhati-hati semasa memandu dan menjaga keselamatan diri ketika keluar untuk mengundi.
“Pengundi dan orang ramai juga perlu peka dengan keadaan cuaca serta perubahan persekitaran dan dapatkan status cuaca serta paras air sungai yang terkini sebelum melakukan apa-apa aktiviti,” katanya.
Pilihan raya itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).