Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) dalam masa terdekat berhubung langkah interim mengatasi isu kenaikan kadar premium insurans perubatan yang dijangka berlaku pada tahun depan, diharap memberi kelegaan kepada pembeli insurans.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa BNM memerlukan sedikit masa lagi sebelum pengumuman dibuat.
“Hari ini Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri dan perlu sedikit masa lagi tapi dalam masa yang tak terlalu lama, BNM akan buat pengumuman.
“Kita harapkan pengumuman itu nanti akan memberi kelegaan kepada pembeli insurans, rakyat Malaysia amnya yang mengharapkan agar perkara ini dapat ditangani dengan baik dan adil,” katanya pada sidang media mingguan pasca Mesyuarat Jemaah Menteri.
Pada sesi Waktu Pertanyaan Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Selasa lalu, Anwar dilaporkan berkata, BNM dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan menentukan kawalan supaya kenaikan premium insurans perubatan tidak terlalu tinggi sehingga menimbulkan banyak masalah kepada pesakit dan menyumbang kepada peningkatan inflasi.
Menurutnya, BNM bersama Perbendaharaan dan KKM sedang meneliti dan merangka panduan tegas untuk memastikan syarikat insurans dan pengendali takaful (MHIT dan ITO) mengambil kira pelbagai aspek sebelum menaikkan premium.
Sebelum ini, dilaporkan kenaikan premium insurans perubatan antara 40 hingga 70 peratus pada tahun depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.