Tumpuan :
Nasional

Pengukuhan kawalan sempadan diperluas ke Kedah & Perlis, banteras penyeludupan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pengukuhan kawalan sempadan akan diperluaskan ke Kedah dan Perlis bagi membanteras penyeludupan senjata api, dadah dan barangan seludup.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia adalah tambahan kepada usaha polis yang giat mengekang kemasukan dan penyeludupan menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, Kelantan.

Menurutnya, langkah pengukuhan kawalan di sempadan ini diambil susulan beberapa kejadian tembakan dan kes berkaitan senjata api, termasuk insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Selangor, serta kejadian tembakan di sebuah rumah di Simpang Renggam, Johor.

“Usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan dalam mengekang individu masuk secara haram melalui Sungai Golok sudah menunjukkan kejayaan dan ia akan menjadi contoh di Kedah serta Perlis.

“Melalui risikan dan siasatan, kita turut mengesan berlaku aktiviti penyeludupan di Padang Besar, Perlis dan usaha mengekang aktiviti itu perlu diperluaskan,” katanya dihubungi Harian Metro.

Razarudin berkata, usaha ini perlu dijalankan bersama agensi lain terutama bagi menutup laluan penyeludupan di negeri bersempadanan.

“Dari pihak kami, pelbagai elemen daripada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) seperti Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) sedang giat mengumpul risikan serta menjalankan operasi bagi membanteras aktiviti penyeludupan.

“Untuk rekod, di Kelantan, JKDNKA berhasil membuat rampasan penyeludupan hampir RM500,000,” katanya.

Beliau berkata, penyeludup bukan sahaja menyeludup barangan serta dadah malah mengambil kesempatan membawa masuk barangan berbahaya lain termasuk senjata api.

“Kita tidak mahu kes tembakan ini menjadi kebiasaan yang mana langkah ketat sudah diambil setiap tahun bagi meluluskan (lesen) senjata api.

“Kita juga akan memastikan usaha lebih ketat dilakukan dalam membendung senjata api tanpa lesen,” katanya.

Menurut Razarudin, mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, individu yang didapati bersalah berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan tidak kurang daripada enam sebatan.

“Mereka yang didapati bersalah memiliki senjata api secara haram juga boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan tidak kurang daripada enam sebatan mengikut Seksyen 8, akta sama,” katanya.

Muka depan Harian Metro hari ini, melaporkan kedudukan Malaysia yang mempunyai banyak ‘pintu masuk’ dengan negara jiran, memudahkan senjata api diseludup ke negara ini.

Perkara itu diakui penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim yang dilaporkan berkata, ia antara penyumbang kepada peningkatan kes membabitkan senjata api di negara ini.

“Apabila senjata api mudah diperoleh, ia akan memberi kesan kepada keselamatan awam. Ketika ini, kes individu yang memiliki senjata api dan melepaskan tembakan amat membimbangkan malah perlu dipandang serius,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini