Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Penguatkuasaan bagi memastikan tiada beras putih tempatan disorok atau ditukar kampit – KPKM


KUALA LUMPUR: Kerajaan mengesyaki wujudnya tindakan memanipulasi bekalan beras putih tempatan yang ditukarkan kepada kampit beras import.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata tindakan itu dipercayai dilakukan segelintir pihak tidak bertanggungjawab demi meraih keuntungan mudah.

Justeru Ahli Parlimen Kota Raja itu mengarahkan tindakan terbabit segera dibanteras bagi memastikan bekalan beras putih tempatan sentiasa terjamin.

“Ini antara punca stok beras tempatan cepat habis di pasaran, selain faktor El-Nino turut memberi kesan pada jumlah pengeluaran beras putih tempatan.

“Saya juga sudah mengarahkan KPKM meningkatkan pemeriksaan dan penguatkuasaan bagi memastikan tiada beras putih tempatan yang disorok atau ditukar kampit oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

BH sebelum ini, mendedahkan segelintir pemborong beras didakwa cuba memanipulasi harga kawalan ditetapkan kerajaan dengan menukar kampit beras tempatan kepada kampit beras import kerana mahu mengaut keuntungan besar.

Taktik itu dipercayai dilakukan kerana harga beras import tidak dikawal kerajaan, sebaliknya hanya diapungkan, manakala harga beras tempatan ditetapkan pada RM26 untuk beg 10 kilogram (kg).

Setiausaha Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia, Musonnef Md Radzi ketika mendedahkan perkara itu dipetik berkata, ada pemborong beras berpakat dengan mengambil kesempatan menukar kampit yang turut mengandungi label beras tempatan kepada beras import.

Ia juga disebabkan kos yang tinggi untuk mengeluarkan beras tempatan sedangkan untuk menjual dengan harga kawalan kerajaan iaitu pada RM26 bagi 10kg adalah sukar dan tidak mampu menampung kos dengan penipuan boleh berlaku disebabkan kilang besar yang majoritinya menguasai rantaian industri beras.

Sementara itu, Mohamad berkata, pihaknya sudah melancarkan beberapa pelan tindakan jangka pendek bagi memastikan bekalan beras putih tempatan sentiasa terjamin bagi pasaran domestik.

“KPKM juga sudah melancarkan Program Khas Beras Putih Tempatan sebagai langkah jangka pendek bagi mengatasi isu kekurangan bekalan barangan berkenaan.

“Menerusi program berkenaan, pengilang padi diminta menyerahkan 20 peratus kuota padi mereka kepada kerajaan melalui Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) untuk diproses bagi penghasilan beras putih tempatan.

“Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga sudah diarahkan untuk membantu memasarkan 20 peratus kuota padi di outlet mereka sebagai antara kaedah memudahkan rakyat mendapatkan bekalan beras putih tempatan,” katanya.

Loading...
Terkini