Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Penguat kuasa Kementerian Kesihatan (KKM) kini dilengkapi kamera badan dalam usaha memastikan ketelusan melaksanakan penguatkuasaan.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, penggunaan teknologi itu juga dapat menjaga kebajikan dan keselamatan pegawai penguat kuasa semasa bertugas.
“Saya ingin mengucapkan syabas kepada KKM khususnya Program Kesihatan Awam dan Program Farmasi atas inisiatif penggunaan teknologi Body Camera (kamera badan) dalam pelaksanaan tugas penguatkuasaan.
“Pemakaian kamera badan kepada pegawai penguat kuasa juga dapat memelihara integriti dan meningkatkan imej KKM,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKM di sini hari ini.
Kamera badan itu digunakan ketika operasi penguatkuasaan juga bagi mengatasi isu ancaman dan halangan ke atas pegawai penguat kuasa oleh penjual atau pemilik premis serta orang awam.
Antara ancaman dilaporkan adalah ugutan bunuh, cubaan memukul dengan batang besi, ancaman lisan dengan kata-kata kesat dan rasuah.
Pemakaian teknologi berkenaan antara lain membantu dari segi pembuktian atau bukti balas yang sewajarnya untuk anggota penguat kuasa yang berisiko ditohmah dan difitnah ketika berkhidmat.
Dr Zaliha turut menyatakan komitmen untuk meneruskan usaha peralihan daripada penjagaan pesakit kepada penjagaan kesihatan dan kesejahteraan rakyat, selain memastikan penjagaan kesihatan golongan wanita dan kanak-kanak serta warga tua sentiasa diberi keutamaan melalui komponen sistem kesihatan primer.
Tumpuan juga akan diberi kepada usaha menangani peningkatan penyakit tidak berjangkit dan mereformasi penyampaian perkhidmatan kesihatan negara khususnya melibatkan tempoh menunggu lama di fasiliti kesihatan, pemodenan fasiliti serta waktu operasi lebih fleksibel.
“Sebenarnya KKM tidak asing bagi saya kerana saya pernah menjadi sebahagian daripada warga KKM suatu masa dahulu. Tidak sampai seminggu saya di KKM (sebagai menteri) saya dihujani dengan banyak cadangan. Antaranya hal yang menjadi kebimbangan rakyat seperti ruang parkir (di fasiliti awam). Itu ramai yang beri cadangan,” katanya.