Tumpuan :
Nasional

Penguasaan Bahasa Melayu di SJKC dan SJKT: Jangan mudah berpuas hati – Pakar Bahasa

Pakar Bahasa Melayu, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim.

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

PETALING JAYA: Semua pihak tidak seharusnya berpuas hati dengan tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang meningkat melalui keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Pakar Bahasa Melayu, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim berkata penilaian bukan berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata sebaliknya perlu dilihat dalam aspek penggunaan dalam kehidupan seharian juga.

Katanya Kementerian Pendidikan (KPM) perlu melipatganda usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar SJKC dan SJKT.

Misalnya penambahan waktu pengajaran dan pembelajaran serta penguasaan bahasa dalam kalangan guru.

Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan penting memberi dorongan kepada anak untuk menggunakannya dalam kehidupan seharian.

“Sebab saya rasa, ada ibu bapa yang tidak begitu ambil kisah tentang memberi tekanan dalam Bahasa Kebangsaan. (Kononnya) lebih baik mereka lebih menekan kepada penguasaan Bahasa Inggeris dengan mengatakan penguasaan Bahasa Inggeris itu penting demi masa hadapan mereka tetapi saya rasa mereka lupa hendak menyatakan bahasa kebangsaan juga amat penting,” katanya.

Beliau yang dihubungi buletintv3.my turut senada dengan pendapat Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru, PIBG SJKC Kung Min, Voon Chun Hian yang memaklumkan secara realitinya penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar terbabit masih kurang memuaskan.

Chun Hian dipetik sebagai berkata pihaknya ada membuat kelas tambahan untuk memberikan lebih kefahaman kepada pelajar sekolah itu.

Tambah Chun Hian, KPM juga wajar mengkaji semula sukatan pelajaran subjek terbabit bagi memudahkan pelajar di sekolah berkenaan menguasai bahasa kebangsaan.

Semalam Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar di SJKC dan SJKT didapati meningkat, dalam keputusan SPM baru-baru ini.

Loading...
Terkini