![](https://media.buletintv3.my/2025/02/fz76Wiih-BULETIN-TV3-AD-13.jpg)
Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar terutama di sekolah menengah perlu diperkasa selari dengan reformasi negara.
Menurutnya, kaedah lama dalam melaksanakan dasar kerajaan berkaitan usaha itu perlu diubah serta diberi pembaharuan dari segi pelaksanaan.
“Reformasi institusi diantaranya pendidikan antara yang saya tekankan selain memantapkan bahasa Melayu, adalah kemestian dalam negara kita yang disepakati sekian lama adalah untuk memberikan sedikit anjakan iaitu memastikan penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua itu cukup mantap dalam kalangan pelajar terutama peringkat menengah.
“Kalau ikut unjuran biasa, akan dirangka keputusan kita (pada tahun) 2023, (dasar) akan dirangka tahun 2024 dan akan diputuskan 2025, akan dimulakan rancangan ujian pula pada 2026 dan (bermula) 2027 dijalankan peringkat awal, manakala (pada) 2028 baru dapat cuba laksanakan.
“Tidak boleh lagi dah perencanaan begitu, itu perencanaan lama. Kalau keputusan itu keputusan 2023, peluncuran dan pelaksanaannya harus 2024.” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan hari ini.
Hadir sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan terus memberi fokus terhadap reformasi institusi termasuk penambahbaikan dalam perkhidmatan awam serta tatakelola.
Sebelum ini, Perdana Menteri dilaporkan memberi galakan kepada rakyat khususnya belia, untuk berani membuat perubahan dengan menguasai bahasa Inggeris dan Cina dalam mengangkat martabat negara sebagai kawasan penting ekonomi dunia.
Anwar berkata, semua pihak perlu akur dengan kepelbagaian bahasa yang ada, apatah lagi ia juga boleh membantu dalam urusan yang diperlukan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.