Tumpuan :
Jenayah

Penglibatan pelajar, remaja terlibat judi dalam talian mebimbangkan – KDN

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

KUALA LUMPUR: Jumlah pelajar dan remaja yang terbabit dalam perjudian dalam talian membimbangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Dengan memberi contoh mengenai tangkapan dijalankan di Melaka dan Johor, Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pada 2021, di Melaka tangkapan membabitkan 47 pelajar dan 131 remaja.

“Bagi tahun lalu hingga Ogos (lalu) membabitkan 23 pelajar dan 70 remaja. Di Johor, pelajar (pada) 2023 ialah 19 orang dan remaja 121 orang,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kementerian mengenal pasti modus operandi kegiatan perjudian dalam talian yang sentiasa berubah dan berkembang.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa meningkatkan keupayaan dari segi perkembangan teknologi bagi memastikan organisasi itu sentiasa terkehadapan melebihi sindiket perjudian dalam talian.

Selain itu, katanya, KDN juga sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menyekat semua laman sesawang perjudian dalam talian di bawah Seksyen 263 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Malah, kita bekerjasama dengan syarikat utiliti TNB (Tenaga Nasional Berhad) dan syarikat bekalan air untuk menjalankan pemotongan bekalan air dan elektrik ke atas mana-mana premis yang kita disyaki serta kenal pasti terbabit dengan isu seumpama ini,” katanya semasa pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai status terkini tindakan perundangan yang diambil oleh pihak kementerian bersama agensi lain terutama MCMC bagi mengatasi judi dalam talian yang berlaku di Melaka khususnya.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar turut memberi jaminan PDRM sentiasa memantau dan menjalankan operasi secara terancang bagi mengatasi isu perjudian dalam talian.

“Beberapa langkah diambil oleh PDRM untuk mengesan serta membanteras kegiatan yang dijalankan ini sama ada dijalankan oleh orang perseorangan atau kumpulan sindiket,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini