comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengkelasan T15 masih dikaji, kerajaan tidak mahu menyusahkan rakyat – PM

Anwar berucap pada Majlis Peluncuran Sambutan Ulang Tahun Jubli Intan Ke-75 Jabatan Perangkaan Malaysia. FOTO: NSTP

BUTTERWORTH: Rakyat berpendapatan RM13,000 sebulan yang berkemungkinan diklasifikasikan sebagai golongan T15 tidak perlu bimbang terhadap langkah penarikan subsidi yang bakal dilaksanakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka yang berpendapatan sedemikian tetapi mempunyai ramai anak yang masih bersekolah termasuk ada melanjutkan pelajaran di universiti, tidak dikategorikan dalam kumpulan berkenaan.

Apatah lagi katanya, pendapatan bulanan RM13,000 sebulan yang ditetapkan Jabatan Perangkaan (DOSM) itu dilihat rendah dan kerajaan masih lagi mengkaji mengenai perkara itu sebelum pengkelasan diperkenalkan.

“Kita sedang kaji kerana kita bimbang dan takut bila diperkenalkan (klasifikasi golongan T15) mungkin gaji RM13,000 (sebulan) tetapi ada lima anak dan dua di universiti, yang bila kita tarik subsidi maka akan menyusahkan.

“Tapi bagi mereka yang di rumahnya ada sampai tujuh kipas dan enam penghawa dingin, bayarlah sikit, bukan bayar cukai tambahan tapi bayar ikut kadar pasaran.

“Yang kita tarik subsidi itu bukan rakyat susah atau kelas menengah, namun saya tegaskan yang kita tarik subsidi hanya untuk 15 peratus dan itu pun kita masih kaji. Pendapatan RM13,000 (itu pun) rendah dan kita akan tingkatkan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen PICCA, di sini, hari ini.

Anwar berkata, ahli-ahli politik pembangkang sepatutnya membela 85 peratus rakyat yang masih menikmati subsidi.

“Ini di Parlimen, dia berucap pertahankan golongan kaya dan maha kaya tapi bila masuk kampung, kami pembela Melayu.

“Kita tak tambah cukai tapi kita hanya tarik subsidi. Bila kita tarik subsidi (dekat orang kaya) baru kita ada duit bantu orang miskin,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini