Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
PETALING JAYA:Pengisian di bawah jenama Rakan Muda perlu bersesuaian dan bertepatan dengan minat serta kecendurangan golongan itu.
Ia bagi menarik minat mereka melibatkan diri secara aktif dalam program yang dianjurkan.
Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata elemen jati diri boleh diterapkan bagi mengelakkan mereka terjebak dalam aktiviti yang tidak bermoral.
“Masalah sosial bukan baru bukan hanya berlaku ketika ini tetapi ianya adalah merupakan perkara yang hampir saban tahun saban generasi, peranan rakan muda perbanyakkan naratif perbanyakkan cerita positif hasil daripada program yang dilakukan,” katanya kepada Buletin TV3.
Selain itu katanya setiap program perlu melibatkan semua kelompok anak muda daripada semua golongan.
“Jadi secara tidak langsung program rakan muda ini kita hendak mengurangkan jurang kelompok generasi muda di pedalaman tetapi ianya adalah platform yang dapat kita giatkan supaya elemen untuk kita saling mengenali.”
Ujarnya Rakan Muda harus dijadikan agenda nasional sekaligus boleh mengembalikan kegemilangan program itu seperti pada era 90-an.
“Saya fikir kalau kita tanya tanya mereka yang berusia 30 tahun dan ke atas hari ini, masing-masing masih mengingati lagu rakan muda, mengingati program inisiatif yang mereka terlibat sama, sama ada di perinkat sekolah atau di luar sekolah jadi saya fikir ini perlu, dibuat secara bersama,” katanya.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan program Rakan Muda yang diberikan nafas baharu dengan memperkenalkan 10 gaya hidup, selaras dengan cita rasa dan minat generasi muda hari ini.