Tumpuan :
Nasional

Pengisian jawatan tetap bantu tangani isu kekurangan tenaga kerja

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan pengisian jawatan tetap dilakukan secara berterusan di semua fasiliti kesihatan di seluruh negara.

Timbalannya, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata KKM telah melaksanakan pelbagai inisiatif bersifat inklusif bagi memperkasa sumber manusia kesihatan termasuk memastikan pengisian jawatan secara tetap terus dilaksanakan di fasiliti kesihatan di seluruh negara.

“Antara lain melaksanakan pemetaan perjawatan pakar perubatan melibatkan bidang kepakaran dan subkepakaran serta kedudukan pakar residen di hospital yang bertujuan untuk memudahcara perancangan dan mobilisasi serta perkembangan perkhidmatan kepakaran di KKM.

“Selain melaksanakan konsep kluster perkhidmatan kepakaran mengikut wilayah dan kluster hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Prof Tan Sri Datuk Dr Mohamed Haniffa Abdullah berkenaan langkah-langkah segera yang diambil oleh kerajaan bagi menangani krisis kekurangan tenaga kerja di sektor kesihatan khususnya doktor, jururawat dan kakitangan sokongan.

“Pada tahun ini kita telah menambah kepakaran sebanyak 800 orang pakar yang akan dilaksanakan setiap tahun bermaksud kita mempunyai jumlah jawatan.

“Walaupun belum lagi mencukupi namun jaminan daripada pihak pusat, bahawa jumlah bekalan jawatan kepakaran ini akan dibekalkan setiap tahun,” ujarnya.

Menurutnya lagi, berdasarkan analisis data perjawatan dan pengisian di Kementerian Kesihatan setakat 30 September lalu, seramai 299,672 petugas kesihatan sedang berkhidmat di KKM.

Jumlah itu meliputi 266,898 petugas kesihatan lantikan tetap dan sebanyak 32,774 lagi adalah petugas kesihatan lantikan kontrak.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 7,720 pegawai adalah Pakar Perubatan, diikuti 44,030 Pegawai Perubatan, seramai 7,626 Pegawai Pergigian, 12,775 Pegawai Farmasi, 70,075 Jururawat dan seramai 19,798 lagi adalah Penolong Pegawai Perubatan serta bakinya adalah anggota dari skim perkhidmatan yang lain,” jelasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini