Tumpuan :
Nasional

Pengikut berpegang Aurad Muhammadiah versi GISBH, taksub pemimpin – KPN

Oleh: Fareez Azman

PETALING JAYA: Hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kaedah perniagaan dijalankan Global Ikhwan Services And Business Holdings (GISBH) telah dimudahcara dengan pegangan Aurad Muhamaddiah versi GISBH.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam satu kenyataan media hari ini, proses berkenaan mirip seperti proses indoktrinisasi yang mana nilai kehidupan dipercayai dan dianuti sepenuh hati oleh pengikutnya.

“Hasil siasatan PDRM terhadap GISBH mendapati kaedah perniagaan mereka telah dimudahcara dengan pegangan Aurad Muhammadiah versi GISBH.

“Pegangan mereka sangat taksub dan mendewakan pemimpin sehingga memutarbelitkan ajaran Islam yang sebenar. Proses ini mirip seperti proses indoktrinisasi yang mana menjadi nilai kehidupan yang dipercayai dan dianuti sepenuh hati oleh pengikut-pengikutnya,” jelasnya.

Tambahnya, doktrin itu amat berbahaya kepada keselamatan negara khususnya ajaran agama Islam di negara ini.

“Doktrin ini sangat berbahaya kepada keselamatan negara khususnya ajaran agama Islam di negara ini dan kebajikan serta masa depan pengikut-pengikutnya yang bergantung sepenuhnya kepada pemimpin-pemimpin mereka sahaja,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PDRM sudah memperoleh lanjutan reman bagi siasatan terhadap ahli GISBH berkait Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 selama empat hari bermula hari ini sehingga 29 September ini.

Beliau berkata, ia membabitkan 24 ahli termasuk individu yang memegang jawatan tertinggi GISBH.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini