Tumpuan :
Nasional

Penghentian sementara aktiviti restorasi, pemindahan karang ditarik balik

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Jabatan Perikanan mengeluarkan notis penarikan penghentian sementara aktiviti restorasi, pemindahan karang dan sebarang aktiviti sentuhan fizikal dengan karang, berkuat kuasa serta-merta.

Dalam satu kenyataan, agensi itu menjelaskan bagaimanapun, aktiviti ini masih tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Perikanan 1985 (Akta 317).

“Mana-mana pihak yang ingin menjalankan aktiviti restorasi atau pemindahan karang perlu mendapatkan kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan,” katanya dałam satu kenyataan.

Katanya, notis penarikan itu dibuat susulan lawatan kerja Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ke Pulau Payar di Kedah bagi meninjau status terkini pemuliharaan terumbu karang serta perkembangan aktiviti pemuliharaan dan konservasi marin di kawasan Taman Laut.

“Dalam lawatan ini, menteri sudah menyempurnakan upacara simbolik restorasi karang sebagai tanda aktiviti pemuliharaan dan restorasi karang kini dibenarkan kembali dijalankan setelah dihentikan sementara sejak 2 Julai 2024 berikutan fenomena kelunturan karang yang melanda perairan negara.

“Keputusan ini dibuat selepas laporan terkini menunjukkan suhu perairan di pulau-pulau Taman Laut telah kembali kepada purata tahunan normal, membolehkan proses pemulihan semula jadi terumbu karang,” katanya.

Sebagai sebahagian usaha konservasi berterusan, katanya Mohamad turut menyaksikan program penanaman 300 nubin/anak karang di Pusat Taman Laut Pulau Payar, sebagai menandakan permulaan bagi menggiatkan semula aktiviti restorasi karang di kawasan Taman Laut selepas ia dihentikan sementara.

“Selain itu, penggunaan teknologi Remotely Operated Vehicle (ROV) dalam menjalankan tinjauan awal sudah diperkenalkan bagi menilai keadaan ekosistem terumbu karang.

“ROV milik Jabatan Perikanan mampu mencerap imej dan video serta mengumpul data persekitaran air seperti suhu dan kedalaman, menjadikannya alat penting dalam pemantauan terumbu karang dan tukun tiruan,” katanya.

Turut diadakan, pelepasan benih gamat sebanyak 120 ekor oleh Mohamad sebagai sebahagian langkah pemuliharaan spesies marin berharga ini.

“Benih gamat yang dilepaskan terdiri daripada spesies Stichopus sp. atau lebih dikenali sebagai gamat emas, yang berusia 120 hari dengan berat antara tiga hingga 10 gram dan panjang dua hingga 10 sentimeter (cm).

“Benih ini dihasilkan melalui pembenihan di Pusat Penyelidikan Marikultur Langkawi dan menjalani proses pembesaran dalam persekitaran terkawal sebelum dilepaskan ke habitat semula jadi di Pulau Payar,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini