GEORGE TOWN: Malaysia berharap penghantaran pulang pesakit rakyat Palestin yang menerima rawatan di negara ini dapat dilakukan dengan kadar segera susulan gencatan senjata di Gaza antara Israel dan Hamas yang berkuat kuasa, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penghantaran pulang pesakit itu akan diatur Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan dalam tempoh 42 hari gencatan senjata di Semenanjung Gaza berlangsung.
Menurutnya, beliau sendiri sudah mengetengahkan perkara itu untuk dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada minggu lalu dengan kesemua pesakit terlibat kini berada dalam keadaan sihat.
“Tentang genjatan senjata antara Hamas dengan Israel, kita tahu bahawa Qatar dan Mesir sudah mengambil langkah proaktif untuk mewujudkan gencatan senjata selama 42 hari di Gaza khususnya.
“Kita harap, dalam tempoh itu, pesakit yang dibawa dari Gaza (dan ditempatkan) di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL), sedang diatur oleh Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan untuk dihantar pulang.
“Jadi, sepanjang gencatan senjata ini adalah masa yang sesuai untuk mereka dihantar pulang dengan segera,” katanya kepada media.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) merasmikan majlis penutup pemukiman KKDW 2025 di sebuah hotel di Teluk Bahang, di sini.
Ahmad Zahid memaklumkan, Kerajaan Mesir akan membantu proses penghantaran pulang pesakit berkenaan dengan perincian lanjut mengenainya akan diselaraskan oleh Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan.
Tambahnya, kerajaan turut tidak mahu perbuatan menjurus kepada demonstrasi berlaku meskipun kerajaan sudah menerima permohonan maaf Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali yang menyesali insiden membabitkan rakyat mereka di wisma berkenaan sebelum ini.
“Kita tidak mahu adanya aksi-aksi dan juga demonstrasi di kem berkenaan dan kita menerima baik permohonan maaf daripada Duta Besar Palestin di Malaysia yang menyesali perbuatan itu.
“Kita tahu bahawa mungkin mereka berada di dalam keadaan tekanan kerana sudah lama berada di Malaysia dan memohon untuk pulang,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.