comscore
Tumpuan :
Nasional

Penghantaran jenazah pendaki Malaysia ambil masa

KUALA LUMPUR: Penghantaran pulang jenazah pendaki Malaysia, Zulkifli Yusuf dari Alaska, Amerika Syarikat ke tanah air dijangka dapat dilakukan seawal hujung minggu ini.

Pegawai Komunikasi Alpine Club Malaysia (ACM), Ayob Yahaya berkata, pihaknya sedang berusaha untuk menyegerakan proses penghantaran pulang jenazah berkenaan.

“Proses bedah siasat dijadualkan siang tadi di sana (Isnin waktu Alaska) tetapi sampai sekarang (malam waktu Alaska) pihak kami di sana belum menerima sebarang perkembangan.

“Jadi kami masih menunggu sama ada proses ini telah disempurnakan dan mungkin esok kita akan tahu,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, proses penghantaran pulang jenazah mengambil masa kira-kira seminggu termasuk urusan dokumentasi selepas bedah siasat selesai.

“Kami sedang berkoordinasi dengan pihak syarikat insuran untuk penghantaran pulang jenazah.

“Insya-Allah ini mungkin mengambil masa seminggu kerana berdasarkan pihak insuran, proses dokumentasi mengambil masa tiga hingga empat hari selepas bedah siasat sebelum dihantar menggunakan pengangkutan udara kira-kira dua hari bergantung kepada kekosongan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ayob berkata, seorang lagi pendaki, Zainudin Lot yang dibenarkan keluar dari hospital di Talkeetna pada Ahad lalu, juga akan membantu Norsafrina Shamsir Md Nasir bagi urusan membawa pulang semua pendaki.

“Dia (Zainudin) akan memantau apa yang perlu di sana.

“Sementara itu, Muhammad Illaham Ishak masih dalam rawatan pemantauan frostbite (luka beku) dan insya-Allah dalam masa terdekat boleh keluar hospital,” katanya.

Sebelum ini, Allahyarham Zulkifli,37, dilaporkan meninggal dunia ketika ekspedisi pendakian di Gunung Denali, Alaska.

Kelmarin, ACM mengesahkan, jenazah yang terkandas selama tiga hari di gunung terbabit berjaya dibawa turun dari lokasi kejadian pada 8.30 pagi, 1 Jun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini