SEREMBAN : Seorang penghantar barang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu anggaran berat 112.482 kilogram (kg), dua minggu lalu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh D Dkrishna Rao, 31, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.
Tertuduh didakwa mengedar dadah jenis syabu anggaran berat 112.482 kg pada 9 Disember lalu, kira-kira jam 8.55 malam di Jalan Tuanku Antah, di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya, P Puspha tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh yang diwakili Peguam A Partheeban.
Mahkamah menetapkan 21 Februari depan untuk sebutan semula kes bagi laporan kimia.