ISKANDAR PUTERI: Polis menahan seorang wanita penghantar barang kerana disyaki mencuri bungkusan di sebuah apartmen di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, laporan diterima daripada lelaki berusia 42 tahun pada 12.08 tengah malam, sebelum suspek wanita berusia 38 tahun itu ditahan di lokasi kejadian.
“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing menunjukkan negatif dadah.
“Polis turut merampas beberapa barang dipercayai hasil curi, termasuk dua botol micellar cleansing water, satu kotak tisu basah dan dua kotak losyen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, suspek direman lima hari bermula Khamis lalu hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.