![](https://media.buletintv3.my/2023/10/SLIDE-BULETIN-TV3-2023-10-11T082712.822.jpg)
KUALA LUMPUR: Tindakan segera dan bersepadu perlu diambil pelbagai pihak bagi mengatasi masalah peningkatan penggunaan vape dan ketagihan dadah dalam kalangan murid sekolah.
Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata peningkatan penggunaan vape dan ketagihan dadah dalam kalangan murid sekolah saban tahun menunjukkan trend membimbangkan.
Keadaan ini, katanya boleh menimbulkan ancaman serius kepada kesihatan, keselamatan dan masa depan golongan terbabit.
“Justeru, isu ini memerlukan tindakan segera dan bersepadu oleh ibu bapa, pendidik, komuniti dan penggubal dasar untuk melindungi anak-anak kita dan menyediakan mereka dengan persekitaran yang sesuai untuk berkembang dan meraih kejayaan.
“Antara sebab tindakan perlu diambil adalah bagi mengurangkan risiko masalah kesihatan.
“Penggunaan vape yang sering dipasarkan sebagai alternatif lebih selamat daripada merokok sebenarnya juga adalah bahan yang berbahaya.
“Penyelidikan menunjukkan ia boleh menyebabkan masalah pernafasan teruk, menyebabkan kerosakan kardiovaskular dan mewujudkan kesan ketagihan jangka panjang kepada nikotin.
“Penggunaan dadah dalam kalangan murid sekolah juga mempunyai kesan buruk terhadap kesihatan mental dan fizikal, yang membawa kepada terjejasnya perkembangan kognitif dan mewujudkan potensi risiko yang berlebihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lam Thye yang juga Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat berkata, ketagihan terhadap vape atau dadah sering mengakibatkan prestasi akademik lemah, masalah ketidakhadiran dan masalah tingkah laku di sekolah.
“Ini menjejaskan potensi kanak-kanak dan meningkatkan kemungkinan mereka untuk tercicir dari alam persekolahan.
“Jika isu ini diabaikan, ia boleh memberi kesan terhadap masyarakat iaitu peningkatan kos penjagaan kesihatan, peningkatan kenakalan juvana dan terjejasnya tenaga kerja masa depan oleh masalah berkaitan ketagihan,” katanya.
Dalam pada itu, Lam Thye berkata penguatkuasaan undang-undang lebih tegas perlu diambil bagi atasi masalah ini, antaranya dengan pihak sekolah mengharamkan penjualan dan promosi produk vape berhampiran sekolah.
“Selain itu, pihak berkuasa boleh mengenakan penalti lebih berat ke atas peruncit yang menjual peranti vape atau dadah kepada golongan bawah umur.
Pantau platform dalam talian jual vape
“Pemantauan platform dalam talian untuk membanteras promosi tersembunyi dan jualan haram yang menyasarkan belia juga boleh dilaksanakan,” katanya.
Tambah beliau, program intervensi awal dengan melatih guru dan kaunselor untuk mengenal pasti tanda awal pengambilan vape atau penggunaan dadah dalam kalangan pelajar juga boleh dilaksanakan.
“Selain itu, mewujudkan sistem pelaporan sulit di sekolah untuk menggalakkan pelajar mendapatkan bantuan tanpa rasa takut akan hukuman dan banyak lagi tindakan yang dapat dibuat.
“Justeru melindungi anak-anak sekolah daripada vape dan ketagihan dadah bukan sekadar tugas untuk sekolah atau kerajaan sebaliknya ia adalah tanggungjawab bersama untuk semua.
“Jika masalah ini dapat ditangani dengan segera, kita boleh menjaga kesihatan dan masa depan generasi muda kita.
“Marilah kita bertindak bersama-sama untuk mewujudkan persekitaran di mana setiap kanak-kanak boleh berkembang maju dan bebas daripada bahaya ketagihan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.