
Oleh: Fatin Hanani Sahimi
KUALA LUMPUR : Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR), telah melaksanakan inisiatif hijau melalui penggunaan lampu jalan LED yang cekap tenaga sejak tahun 2018.
Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata penggunaan tenaga solar bagi lampu LED sebagai projek perintis telah dilaksanakan untuk projek jambatan di jalan persekutuan.
“Teknologi lampu jalan solar LED yang berada di pasaran kini sedang menuju ke arah kematangan produk yang didorong oleh penglibatan pemain industri dan agensi kerajaan yang mengambil kira keperluan reka bentuk teknikal dan penyenggaraan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Padang Rengas Azahari Hasan mengenai adakah kerajaan bercadang menggunakan lampu solar untuk mengatasi masalah lampu jalan.
Tambahnya, Kementerian menganggarkan kos penambah-baikan RM830,000 untuk menyelesaikan aduan berhubung lampu jalan yang kerap tidak berfungsi di jalan Persekutuan.