PETALING JAYA: Adalah menjadi satu kesalahan apabila akuarium yang berfungsi sebagai bekas memelihara ikan dan bukan bertujuan untuk penyimpanan makanan digunakan sebagai bekas penyimpanan air bagi tujuan jualan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan berkata akuarium kebiasaannya diperbuat daripada bahan kaca atau acrylic atau plastik dan berkemungkinan mengandungi bahan kimia seperti plumbum atau
phthalates, yang boleh larut dalam air seterusnya mencemarkan air tersebut, sekaligus boleh mengakibatkan kesan kepada kesihatan.
Artikel berkaitan ; [VIDEO] Minum ‘air akuarium’ bahaya, terdedah ”racun plastik” – Pakar
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) akan sentiasa menjalankan pemantauan ke atas penjualan makanan termasuk penjualan minuman yang menggunakan bekas bukan untuk tujuan makanan.
Pihak KKM ingin menegaskan kepada penjual dan pengguna untuk memandang serius tentang keselamatan makanan dan memastikan makanan yang dijual adalah selamat dan berkualiti untuk semua.
KKM juga ingin menasihatkan orang ramai agar membeli makanan di premis makanan yang bersih.
KKM komited untuk memastikan keselamatan dan kualiti makanan terjamin agar kesihatan penguna sentiasa terpelihara.
Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) ww.facebook.com/bkkmhq.
Artikel berkaitan : [VIDEO] ‘Air akuarium’: KKM akan ambil tindakan