comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengguna tren komuter, ETS terjejas akibat kren tumbang boleh tuntut bayaran balik

Foto: KTM Berhad/ Facebook

PETALING JAYA: Pengguna perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Komuter Lembah Klang dan Tren Elektrik (ETS) yang terjejas ekoran insiden kren tumbang boleh menukar jadual perjalanan atau menuntut bayaran ganti rugi, menurut Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin.

Jelas beliau, pengguna yang ingin membatalkan perjalanan boleh menuntut bayaran tiket mereka dan wang akan dikreditkan ke dalam akaun e-dompet pengguna serta-merta.

“Penumpang yang ingin membatalkan perjalanan, kita akan pulangkan tambang atau mereka boleh ubah perjalanan.

“Proses pemulangan tambang akan dibuat serta-merta melalui e-dompet,” katanya pada sidang media selepas melawat lokasi kren binaan tumbang di KM355.7 antara Stesen Rawang dan Kuang.

Kejadian jam 5.35 petang semalam menyebabkan perkhidmatan KTM dan ETS laluan KL Sentral-Tanjung Malim-KL Sentral mengalami gangguan perkhidmatan dan kelewatan lebih dua jam.

Foto: KTM Berhad/ Facebook

Susulan insiden itu, perkhidmatan tren komuter laluan KL Sentral-Tanjung Malim ditamatkan di Stesen Sungai Buloh manakala Tanjong Malim-KL Sentral akan ditamatkan di Serendah.

Bagi perkhidmatan ETS laluan Padang Besar-Gemas, tren ditamatkan di Stesen Tanjung Malim.

“Penumpang dibawa menaiki bas perantara yang disediakan dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Sungai Buloh bagi meneruskan perjalanan ke KL Sentral dan Gemas dengan menaiki tren.

Sementara itu, bagi laluan Gemas – KL Sentral – Butterworth dan Gemas – KL Sentral – Padang Besar, penumpang diaturkan menaiki tren ETS dari KL Sentral ke Stesen Sungai Buloh.

Mereka seterusnya dibawa menaiki bas ke Stesen Tanjung Malim untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing, dengan menaiki tren ETS di laluan yang tidak terjejas.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini