comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengguna Rokok Elektronik, Vape Berisiko Alami Kecederaan Paru-Paru

FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Mitos kononnya rokok elektronik atau vape lebih selamat berbanding rokok tembakau perlu diperbetulkan kerana pengguna bahan itu berisiko mengalami kecederaan paru-paru atau E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata penggunaan rokok elektronik atau vape juga boleh menyebabkan gejala selain pernafasan seperti kebas anggota badan, berdebar-debar dan halusinasi.

“Ada sesetengah pihak termasuk dalam industri menyatakan bahawa EVALI ini tidak wujud dan kononnya mengambil pendekatan menggunakan vape untuk mengurangkan mudarat.

“Sedangkan kita tahu sudah ada bukti saintifik bahawa menghisap vape dan rokok elektronik juga akan mendatangkan mudarat. Jadi, kita perlu lawan dan tewaskan mitos sebegini,” katanya dalam ucapan sempena Pelancaran Panduan Amalan Klinikal Pengurusan EVALI di Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Khairy berkata, apa yang membimbangkan kini adalah penggunaan vape dan rokok elektronik ini semakin tidak terkawal kerana tidak mengetahui bahan apa yang digunakan dalam cecair yang dijual di pasaran.

Malah, katanya, kini masih tiada lagi Rang Undang-Undang (RUU) yang membolehkan pihaknya mengawal industri vape berkenaan.

“Sekarang tiada sebarang kawalan kecuali jika kita menggunakan kuasa bawah Akta Racun, barulah tindakan boleh diambil dengan mengambil sampel serta menguji bahan berkenaan di makmal.

“Sedangkan bawah RUU yang sudah dirangka KKM, individu yang mahu menjual cecair vape perlu mendaftarkan produk mereka dan ia sekali gus membolehkan kita membuat pemantauan dan mengawal kandungan diletakkan dalam cecair, paras nikotin dan sebagainya,” katanya.

Mengenai EVALI di negara ini, Khairy berkata, kini jutaan rokok elektronik berdepan penyakit berkenaan, sekali gus memberi risiko kecacatan kekal pernafasan dan kematian.

Katanya, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 menunjukkan terdapat kira-kira 1.1 juta pengguna rokok elektronik atau vape di Malaysia, malah jumlahnya semakin bertambah hingga memerlukan penyakit EVALI dipantau.

Beliau berkata, penyakit EVALI mula didiagnosis pada 2019 di Amerika Syarikat apabila sebanyak 2,800 kes kecederaan paru-paru dan 68 kematian.

“Sehingga kini, negara merekodkan dua kes EVALI pada 2019 manakala lapan kes dikenal pasti melalui kajian Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 2021.

“Namun, jumlah yang dilaporkan ini berkemungkinan lebih rendah berbanding jumlah kes sebenar akibat tiadanya garis panduan serta penerangan mengenai EVALI.

“Bagi Jun hingga September tahun ini, iaitu selepas arahan notifikasi dikeluarkan, empat kes disyaki EVALI dilaporkan kepada KKM dan sedang dalam penyiasatan lanjut pegawai di lapangan,” katanya.

Khairy berkata, anggaran kos bagi merawat seorang pesakit Evali yang dimasukkan ke hospital selama empat hari adalah sebanyak RM50,297.37,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini