Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Bekalan telur ayam pelbagai gred di kebanyakan pasar raya di Terengganu dan Kelantan mencukupi menjelang sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan sebagai respons laporan media tempatan hari ini berhubung isu gangguan bekalan telur di negeri-negeri Pantai Timur menjelang lebaran.
“Orang ramai khususnya pengguna di Pantai Timur dinasihatkan agar tidak panik dengan situasi ini dan berhemah apabila membeli telur untuk kegunaan di musim perayaan ini bagi mengelakkan gangguan ke atas bekalan telur di pasaran.
“KPDN akan giat melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di seluruh negara termasuk pada musim perayaan bagi memastikan pengguna dapat menyambut Aildilfitri dengan selesa,” katanya.
“Pihak KPDN telah mengambil tindakan segera dengan melakukan pemeriksaan dan pemantauan di beberapa pasar raya serta pasar raya besar terpilih di Kelantan dan Terengganu.
“Hasil pemeriksaan itu mendapati kebanyakan pasar raya masih mempunyai bekalan telur ayam pelbagai gred yang mencukupi menjelang Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sentiasa melakukan pemantauan berkala berhubung keberadaan bekalan telur.