PUTRAJAYA: Penyasaran semula subsidi RON95 akan dilaksanakan menerusi dua peringkat iaitu ‘front-end’ membabitkan operasi di stesen minyak dan ‘back-end’ merangkumi penentuan kelayakan mereka yang berada dalam golongan B85 (85 peratus layak mendapat subsidi).
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, urusan ‘back-end’ akan diuruskan kementerian itu, di mana satu Mesyuarat Jemaah Menteri diangkat ke Kabinet untuk mendapat kelulusan sebelum pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 dapat direalisasikan.
“Kalau ikut perbincangan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan, pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 membabitkan dua peringkat. Penentuan kelayakan akan diuruskan Kementerian Ekonomi. Kita akan angkat ke Kabinet untuk mendapat kelulusan,” katanya pada sesi interaksi bersama warga Kementerian Ekonomi bersempena perhimpunan bulanan kementerian itu, hari ini.
Rafizi berkata, kertas Mesyuarat Jemaah Menteri yang diangkat itu turut membabitkan cadangan untuk membuka semula Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan diputuskan oleh Kabinet dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
“Insya-Allah, bulan ini, Kementerian Ekonomi akan mengangkat kertas cadangan Mesyuarat Jemaah Menteri ke Kabinet untuk kita mendapat kelulusan. Ia turut merangkumi peralihan pengkelasan daripada B40, M40 dan T20 kepada pendekatan pendapatan boleh guna bersih dan sudah tentu pengoperasian itu akan membabitkan PADU.
“Keputusan lain seperti membuka semula PADU dan sebagainya.. akan diputuskan di peringkat Kabinet dalam beberapa minggu akan datang. Daripada itu, bermulalah pengoperasian PADU dalam ‘use case’ yang pertama iaitu penyasaran semula subsidi,” katanya.
November lalu, Rafizi mendedahkan fasa kedua pendaftaran PADU hanya akan diumumkan secara terperinci selepas mendapat kelulusan Kabinet.
Ketika itu, beliau menjelaskan bahawa Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan sedang memperhalusi beberapa perkara termasuk kriteria kelayakan.
Sebelum ini, kerajaan dilaporkan akan membuka semula sistem pendaftaran PADU di bawah fasa kedua bagi membolehkan mana-mana individu yang belum mendaftar dapat mengemas kini maklumat masing-masing mengikut tempoh yang akan ditetapkan.
Pada pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025.
Penjimatan yang dicapai daripada penyasaran subsidi bahan api itu akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.
Sejumlah 85 peratus rakyat bagaimanapun tidak akan terkesan dengan langkah itu, yang membawa penjimatan dana kerajaan sebanyak RM8 bilion.
Pada November lalu, Rafizi turut dilaporkan mengakui kaedah penetapan harga dua peringkat sebagai pilihan terbaik kerajaan dalam melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95.
Kaedah itu yang secara prinsip dipersetujui kerajaan untuk dilaksanakan pada pertengahan 2025, katanya bukan sahaja boleh diperbaiki dari semasa ke semasa dari segi operasi, malah paling penting pelaksanaannya tidak akan menyebabkan kenaikan harga barang secara mendadak, selain pada masa sama membantu mengekang inflasi.
Beliau berkata, tidak ada satu kaedah benar-benar sempurna dalam melaksanakan penyasaran subsidi untuk RON95, memandangkan sebarang kaedah bakal dilaksanakan kelak akan menyebabkan sedikit risiko dan masalah seperti dari segi operasi, penipuan dan kos.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.