Tumpuan :
Nasional

Pengguna jalan raya perlu peka ‘titik buta’ kenderaan berat – JPJ

Foto: JPJ

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan pengguna jalan raya supaya peka dengan ‘titik buta’ kenderaan berat ketika berada di jalan raya bagi mengelak risiko terbabit kemalangan.

Titik buta antara lima disenarai JPJ sebagai punca kemalangan yang membabitkan kenderaan berat, dengan turut disertakan saranan cara untuk mengatasinya.

Empat lagi punca kemalangan adalah tukar lorong, kondisi pemandu tidak sihat, hujan lebat dan tidak periksa kenderaan.

“Jangan bermain di kawasan ‘hilang pandangan’ (titik buta). Pastikan pemandu kenderaan berat sedar kehadiran anda.

“Kenderaan lain harus menjaga jarak kenderaan sejauh tiga saat ketika berada di belakang (kenderaan berat) dan elakkan berada di lokasi titik buta,” katanya.

Bagi pemandu kenderaan berat pula, mereka diingatkan supaya memastikan tiada kenderaan lain di lokasi ‘titik buta’ dan sentiasa memberi isyarat sebelum menukar lorong atau ingin membelok.

Pemandu juga diingatkan supaya mengelak daripada memandu ketika sedang mengantuk dan memastikan tidak mengambil sebarang alkohol atau dadah sebelum atau semasa memandu.

“Rasa letih, jangan memandu… kesihatan anda adalah kunci kepada perjalanan yang selamat. Tiada apa lebih penting daripada nyawa,” katanya.

JPJ turut mengingatkan mengenai kepentingan menjaga jarak dengan kenderaan berat di jalan raya.

“Jarak itu penting…. beri ruang untuk kenderaan berat, mereka perlukan lebih masa untuk berhenti atau memotong,” katanya.

Hujan lebat juga menjadi antara punca kemalangan membabitkan kenderaan berat berikutan ia dapat menghalang pemandangan pemandu.

“Jalan basah, bahaya meningkat. Nyala lampu, kurangkan kelajuan dan pandu dengan berhati-hati,” demikian saranan diberikan.

Mengenai aspek keselamatan kenderaan, JPJ mengingatkan supaya memeriksa kenderaan terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.

“Pemandu kenderaan berat, pastikan kenderaan anda selamat sebelum perjalanan bermula. Pemeriksaan kecil, impak besar,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli memaklumkan, jabatan itu bekerjasama dengan pihak berkuasa lain untuk meningkatkan infrastruktur jalan raya di seluruh negara serta memastikan semua kenderaan yang beroperasi di jalan raya mematuhi standard keselamatan ditetapkan.

Katanya, pemeriksaan berkala dan pemeriksaan keselamatan yang ketat akan diteruskan terutamanya untuk kenderaan awam dan komersial.

“JPJ juga akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan syarikat pengangkutan dan persatuan industri untuk memastikan mereka mematuhi peraturan keselamatan jalan raya.

“Dengan langkah yang lebih ketat terhadap kenderaan komersial seperti bas dan lori, kami berharap dapat mengurangkan kemalangan yang melibatkan kenderaan besar di jalan raya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini